Pages

Wednesday, 23 March 2016

PERSAINGAN #PABM BERTAMBAH SENGIT

Bertemakan “Pengantarabangsaan Bahasa Melayu”, Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri @ PABM adalah satu acara tahunan pidato Bahasa Melayu yang terulung yang bermatlamat untuk memartabatkan citra dan kedaulatan bahasa Melayu di persada dunia. 

Selepas dua hari pertandingan, seramai 10 pelajar antarabangsa mara ke pusingan separuh akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2016 esok.


Lima pelajar daripada 20 yang bertanding dalam kategori Antarabangsa dan melepasi pusingan saringan semalam serta suku akhir hari ini ialah HAN JUN BEOM dari Korea Selatan, WANG JIALU (ALEEYA) dari China, HATSUNE YANAI dari Jepun, MEGAN ROSE DONELLY dari Amerika Syarikat dan REBECCA CLARE LAWRENCE


Bagi kategori Pelajar Malaysia di Malaysia (PAM) pula, pelajar Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), ABDALLA HASSAN GHARIB dari Tanzania; pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), MASHAL KASEM ALQUDAH dari Jordan; dan pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP), ANAS MOHAMAD HUSIAN KASSIM dari Iraq akan bersaing untuk mara ke pusingan akhir pada 25 Mac nanti.


Turut merebut tempat ke final yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah dua pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) HASSAN RADWAN dari Palestin dan NASEAR BIN SLAYMAN dari Kemboja. - UTUSAN





PELAJAR RUSIA KONGSI PENGALAMAN #PABM

Dalam tempoh dua hari lagi, Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2016 (PABM 2016) bakal membuka tirai dan pastinya menampilkan peserta-peserta yang hebat dari dalam mahupun luar negara.

Beberapa pemenang dan finalis PABM pada edisi-edisi yang lalu tidak ketinggalan dalam mengikuti perkembangan pertandingan itu yang dianjurkan buat kali ke-10 pada tahun ini.

Juara pertama PABM pada tahun 2007, Olga Vasilevskaya, 28, memberitahu, dia kini mampu memahami dan bertutur dengan lebih baik dalam bahasa Melayu setelah melibatkan diri dalam pertandingan tersebut.

“Ketika belajar bahasa Melayu di Moscow, Rusia, saya hanya dapat mempelajarinya menerusi buku, namun berbeza keadaannya apabila berada di Malaysia. Saya dapati terdapat seni dari segi bahasa, jiwa dan perkara yang dipersembahkan ketika bertutur dalam bahasa Melayu.

“Saya meminati untuk mendalami bahasa Melayu kerana ia sangat unik dari segi bunyi serta strukturnya yang menentukan cara pemikiran seseorang. Bahasa ini juga merupakan bahasa serantau kerana negara lain juga boleh memahami apa yang dituturkan menggunakan bahasa Melayu,” kata Olga atau Azizah Abdullah ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, johan kategori Alam Melayu PABM 2015, Mohd. Akmal Aizat Umar, 24, berkata, mengenang kembali penyertaannya dalam pertandingan tersebut pada tahun lalu banyak memberi pengalaman manis kepada dirinya.

“Satu pengalaman yang amat manis terutamanya apabila berpeluang membawa cabaran negara di peringkat akhir. Debaran ketika berada di pentas sebesar itu pasti sukar untuk dilupakan.

“Mengenali rakan-rakan baharu dari seluruh pelosok dunia juga cukup sukar dilupakan, apatah lagi mendengar mereka bertutur menggunakan bahasa Melayu. Agak janggal dan melucukan pada awalnya, namun amat membanggakan kita sebagai penutur tetap bahasa ibunda,” katanya.

Selain itu, peserta negara yang merupakan johan kategori Nusantara PABM 2012, Fathiah Ibrahim, 27, mengambil peluang untuk berkongsi minat berpidato dengan rakan-rakan dari seluruh dunia menerusi pertandingan tersebut.

“Melalui PABM juga, peserta dapat memperkenalkan bahasa Melayu dan menyampaikan mesej menerusi pidato masing-masing. Semoga bahasa Melayu dapat dimartabatkan di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, Dayangku Mumtazah Pangeran Md. Jaafar, 26, dari Brunei yang merupakan naib johan PABM 2012 dalam kategori Nusantara tidak dapat melupakan rasa tekanan dan kelegaan tatkala melepasi peringkat saringan, separuh akhir hingga ke peringkat akhir.

“Persaingan bersama rakan lain tidak menghalang kami untuk menjalin persahabatan yang indah, yang masih kekal sehingga hari ini. Sebaik sahaja memenangi PABM, Alhamdulillah, tawaran untuk menjadi hos televisyen dan radio serta menulis skrip semakin banyak dan terima kasih kepada PABM,” katanya.

Bagi rakan senegaranya pula, Awang Abdul Rashid Awang Damit, 29, yang merupakan naib johan dalam kategori sama pada PABM 2011 mengakui pertandingan itu mengajar dirinya erti sebuah perjuangan.

“Atas kapasiti sebagai seorang naib johan PABM, saya diberikan penghormatan untuk mengetuai bacaan ikrar Hari Belia Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan bergiat aktif dalam bidang pengacaraan di peringkat nasional sehingga mampu menubuhkan syarikat dengan nama ‘Mahir Orator Brunei’ yang memberi fokus kepada latihan pengucapan awam dan perkhidmatan pengacaraan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...