Pages

Friday, 22 May 2015

#FBP2015 : SAYA SAYANG ATUK!

"Atuk tidak pernah merungut mengenai kehidupan, Sekarang atuk tiada lagi, Saya sayang atuk", keluh seorang gadis semasa mendeklamasikan puisinya di Festival Belia Putrajaya 2015 di Zon Selatan hari ini.


Kehangatan Festival Belia Putrajaya 2015 mula dirasai. Denyut nadi anak-anak muda  di Projek Rabak membuat persembahan puisi. Projek Rabak adalah  satu saluran untuk anak-anak muda untuk mengalami dan mewujudkan bukan sahaja muzik tetapi puisi, penulisan, seni dan persembahan kreatif yang lain.

Para peserta yang dipilih dari bengkel Rakan Muda Projek Rabak akan membuat persembahan 10 minit puisi bacaan setiap hari. Projek Rabak juga akan menyusun kerja-kerja yang terbaik dan menerbitkan sebuah buku kecil percuma untuk diedarkan di festival.

Sementara itu persembahan muzik tradisional Sape mengambil tempat di Pentas Utama Zon Selatan. Sape ialah sejenis alat muzik tradisional yang digunakan cukup meluas di kalangan Orang Ulu atau 'upriver people', mereka juga adalah masyarakat yang tinggal di rumah panjang di sepanjang tebing sungai Borneo Tengah.  Ia juga disebut sampet, sampeh atau sapeh.

Sape diukir daripada sebatang blok kayu dengan menggunakan instrumen moden dan panjangnya boleh mencecah sehingga hampir satu meter.  Pada mulanya sape adalah alat muzik yang agak terhad fungsinya kerana sifathya yang mempunyai dua tali dan dengan hanya tiga fret.

Penggunaannya adalah terhad untuk majlis khas ritual namun perubahan zaman menjadi kan ianya sebagai instrumen sosial untuk mengiringi penari atau juga sebagai satu bentuk hiburan.  Hari ini, instrument tiga, empat dan lima tali digunakan, dengan laras nada melebihi tiga octaves. 

Secara teknikalnya, sape secara relatif adalah instrumen muzik yang sangat ringkas, hanya satu tali mengalunkan melodi dan tali selebihnya sebagai pendukung ritma.  Secara praktikalnya, muzik yang dihasilkan sape adalah agak kompleks, ia perlu didatangkan dengan banyak hiasan dan variasi yang bertema.

Banyak lagi acara yang sedang berlangsung dan menarik sehingga Ahad ini. Ayuh! Kita raikan Showcase of Talent ini.


No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...