Pages

Wednesday, 23 April 2014

HORMATI KARPAL, SANJUNG JANGAN SEKALI!

Kematian Karpal Singh adalah satu rahmat atau satu kerugian kepada ummah Islam? 

Benar nampak tidak sopan apabila kita meraikan kematian Karpal Singh padahal keluarganya sedang dirundung pilu dan sebak. Benar kita perlu ikut cara Rasulullah SAW sepertimana kisah di dalam hadis ini,

‘Sesungguhnya Nabi SAW dilintasi di hadapannya oleh satu jenazah, lalu baginda berdiri. Diberitakan kepada baginda bahawa ia adalah jenazah seorang Yahudi. Lalu baginda bersabda: “Tidakkah ia satu jiwa?”.
Direkod oleh Bukhari (no: 1250) dan Muslim (no: 961).

Kisah Zulkifli Nordin yang mengeluarkan kenyataan Twitternya “Dalam keadaan kemelut kerajaan PAS Kelantan mahu melaksanakan hudud dengan bantuan Umno, Allah telah matikan Karpal yang menjadi penentang utama pelaksanaannya!”

Ramai orang Islam yang mengutuk kenyataan Zulkifli Nordin dengan hujah mengatakan yang menghalang Hudud bukanlah Karpal tetapi orang UMNO sendiri. Sehingga keluar kenyataan menghina Zulkifli Nordin kerana tidak sensitif.

Dr. Mohd Asri Zainul Abidin pula memberi jawapan yang lebih berhemah dan selamat dengan mengatakan beliau ‘tidak tahu hakikat’ Karpal Singh dan merakamkan ucapan takziah kepada kaum keluarga Karpal Singh.

Mengapa nada kenyataan Zulkifli Nordin lain dan kenyataan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin lain? Jawapannya kerana cara dan tahap mereka mengenali mendiang Karpal Singh adalah berbeza. Jadi boleh kita katakan Zulkifli Nordin sebagai seorang peguam dan Karpal Singh juga seorang peguam dia ‘lebih tahu hakikat’ Karpal Singh berbanding seorang bekas mufti dengan seorang peguam.

Yang sedihnya, adakah para blogger yang terdiri daripada orang Islam sendiri begitu ‘tahu hakikat’ Karpal Singh? Mereka seperti sangat pasti yang Karpal Singh bersih daripada sikap perkauman dan tiada sikap anti Islam langsung!

Cukuplah kita hanya menghormati Karpal Singh kerana ‘ia satu jiwa’ sepertimana sabda Rasulullah SAW. Hormati Karpal Singh kerana dia juga seorang bapa, seorang suami dan ketua di dalam Parti DAPnya.

Hormatilah Karpal Singh selayaknya tetapi menyanjungnya adalah tidak layak sama sekali.

Jika anda berasa tidak senang dengan kenyataan di atas sebagai seorang Islam yang sayangkan Rasulullah dan Islam maka kajilah kedudukan anda.

Rasulullah SAW berdakwah kepada orang musyrikin dan apabila Rasulullah ditentang Baginda mempertahankan diri dan Baginda juga turun sendiri ke medan perang. Ikutlah cara Rasulullah SAW ini dan janganlah buat kenyataan yang menyanjung tinggi peribadi seseorang yang menentang Islam Cuma cukuplah hormati dia sebagai ‘satu jiwa’. 

Janganlah confuse dengan status Karpal Singh. Beliau memang sentiasa berusaha agar Islam tidak menjadi agama dominan di Malaysia. Tak perlulah dinyatakan senarai panjang perbuatan Karpal Singh dalam menyekat syiar agama Islam. Google sahaja dan jika nak lebih ‘tahu hakikat’ Karpal Singh mohon tanyalah orang yang tepat bukannya orang yang dengar apa orang lain kata.

Jelasnya Karpal Singh adalah seorang ahli politik. Beliau juga seorang peguam yang mahir dengan undang-undang. Kedua-dua jawatan ini sudah jelas menyatakan bahawa Karpal Singh seorang yang pakar strategi dan pakar menyembunyikan agenda dia yang sebenar. Benar beliau banyak membela kes di dalam hayatnya. Namun, tiada satupun kes yang beliau wakili yang benar-benar untuk membela status agama Islam di Malaysia.

Kenapa berfikir lagi? Jawapannya sudah jelas. Karpal Singh harus kita hormati selayaknya sahaja tetapi elakkan sama sekali daripada menyanjungnya berlebih-lebihan seperti menurunkan bendera setengah tiang, bertafakur di dalam majlis dan mencadangkannya dengan gelaran negara seperti ‘Tun’.

Bukan apa, kita takut perbuatan kita itu sebenarnya adalah satu perbuatan ‘penderhakaan’ terhadap Rasulullah SAW, agama Islam dan Kedaulatan Raja-raja Melayu kita. 
Sedarlah.. sayangkanlah Islam dengan ikhlas daripada main wayang politik sahaja. 
Wallhuaklam-Allah lebih Maha Mengetahui.

Oleh: King Kebenaran

Thursday, 17 April 2014

#GST : MERUNGKAI SALAH FAHAM DAN FITNAH (Graphic Info Included)

RANG Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 April lalu dan akan mula dilaksanakan mulai 1 April 2015.

Tinjauan di laman-laman sosial mendapati ramai rakyat Malaysia tidak memahami kepentingan melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan implikasi sebenar pelaksanaannya.

Antara salah faham ialah GST adalah satu cukai baru yang akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak dan mengakibatkan peningkatan kos sara hidup rakyat.

Ada juga yang beranggapan GST hanyalah satu instrumen kerajaan untuk memungut cukai baru bagi menggantikan kehilangan pendapatan negara akibat cadangan pengurangan cukai syarikat pada masa akan datang.

Pengenalan GST juga dianggap sebagai satu langkah untuk mengikut trend semasa memandangkan sudah lebih 160 negara mengguna-pakai GST dan ini dilaksanakan tanpa kajian mendalam tentang beban yang ditanggung oleh rakyat.

Tanggapan negatif tentang GST ini timbul kerana kurang pemahaman tentang bidang percukaian, perakaunan sektor awam dan asas ekonomi. Ini diburukkan lagi dengan momokan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat separuh benar kepada masyarakat berkaitan implikasi GST terhadap kos sara hidup.

BENARKAH GST CUKAI BARU?

GST sememangnya adalah cukai yang baru diperkenalkan di Malaysia. Namun begitu pelaksanaannya menyebabkan dua jenis cukai lain dimansuhkan. Pada masa ini, cukai dikenakan kepada barangan dan perkhidmatan melalui dua akta iaitu Cukai Jualan 1972 (Akta 64) dan Cukai Perkhidmatan 1975 (Akta 151), yang mana kedua-duanya dipungut oleh Kastam.

Rata-rata masyarakat tidak membincangkan tentang implikasi apabila kedua-dua cukai jualan dan cukai perkhidmatan ini dimansuhkan, tetapi lebih fokus kepada melihat kesan satu hala GST terhadap kos barangan dan perkhidmatan.

Cukai jualan (10%) umumnya dikenakan ke atas barangan yang dikilangkan di Malaysia atau diimport, dan dibayar oleh pengeluar atau pengimport yang mempunyai hasil tahunan RM100,000 ke atas. Cukai ini diserap ke dalam harga barangan yang dijual kepada pengguna. Manakala cukai perkhidmatan (6%) dikenakan ke atas perkhidmatan khas seperti perkhidmatan hotel (lebih dari 25 bilik), insurans, te­lekomunikasi, khidmat profesional akauntan, peguam, jurutera dan arkitek, outlet makanan dan minuman dan lain-lain lagi.

Cukai perkhidmatan yang dikenakan kepada pengguna jelas dinyatakan di dalam bil atau resit bayaran, berbeza dengan cukai jualan yang tersembunyi dan tidak disedari oleh pengguna.

Secara tepatnya, rakyat Malaysia membayar cukai yang lebih tinggi di dalam sistem se­­dia ada. Pertukaran kepada model GST Malaysia, bukan sahaja perlu untuk mentransfor­masi sistem cukai negara ke arah yang lebih adil, malah ia perlu kerana sistem sedia ada yang bersifat 'single-tier' sangat terdedah kepada risiko pelarian cukai yang merugikan negara.

ADAKAH GST MENYEBABKAN KENAIKAN HARGA?

Penggunaan sistem cukai GST bagi menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan berupaya menangani masalah cukai bertindan yang mana akan mengurangkan beban cukai pengguna. Contoh jelas di­terangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2014 di mana jika pengguna membeli minuman berkarbonat di restoran, mereka akan dikenakan cukai bertindan iaitu, cukai jualan yang diserap ke dalam harga minuman serta cukai perkhidmatan yang tertera di atas resit jualan.

Dengan GST, masalah seperti ini tidak berlaku kerana pengguna akan hanya dikenakan satu jenis cukai sahaja. Harga barangan akan menjadi lebih murah akibat pemansuhan cukai bertindan ini.

Bagi barangan dan perkhidmatan yang tidak dikenakan cukai jualan dan cukai perkhidmatan sebelum ini, kenaikan harga barangan akan berlaku. Namun begitu, kerajaan mewartakan sejumlah barang dan per­khidmatan yang dikecualikan GST. Ia termasuk makanan barangan asas seperti beras, gula, garam, tepung, minyak masak dan lain-lain lagi.

Justeru, boleh disimpulkan akan ada barangan dan perkhidmatan yang naik, turun dan tidak berubah. Secara amnya, kesan berikut boleh dirumuskan. Oleh itu tidak adil untuk kita merumuskan GST akan ­me­ngakibatkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

ADAKAH GST LANGKAH TERGESA-GESA?

Anggapan bahawa langkah memperkenalkan GST oleh kerajaan adalah tergesa-gesa adalah salah sama sekali.

Menyedari akan kepentingan dan manfaat GST, kerajaan telah mengumumkan cadangannya semasa belanjawan 2005, namun pelaksanaannya telah ditangguhkan. Dalam melaksanakan GST, kerajaan menubuhkan Panel Penilai Cukai (Tax Review Panel) yang dianggotai oleh pakar-pakar percukaian dari sektor awam dan swasta.

Panel ini menjalankan kajian meliputi pelbagai aspek GST dan undang-undang antaranya ialah Goods and Services Tax 1985 (New Zealand), Value Added Tax Act 1994, (United Kingdom), Goods and Services Tax 1991 (Kanada), dan Value Added Tax Act 1992 (Thailand).

Hasil kajian mendapati bahawa GST akan menjana ekonomi negara yang lebih mapan dengan peningkatan nilai eksport sebanyak 0.5% disebabkan harga barangan eksport akan jadi lebih kompetitif dan murah. Kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka naik sekitar 0.3%.

ADAKAH GST ABAIKAN RAKYAT?

Peningkatan defisit dalam belanjawan negara setiap tahun adalah perkara yang membimbangkan. Sekiranya ia tidak dikawal, ekonomi negara akan merudum dan kehidupan selesa yang dinikmati oleh rakyat pada masa ini akan terjejas. Justeru itu, GST yang bersifat multi-tier dan dengan skop cukai yang luas akan menjadi sumber baru pendapatan negara.

Namun begitu, ini tidak bermakna rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah akan terbeban dengan cukai ini. Bagi menjaga kebajikan rakyat, seiring dengan pengenalan GST, kerajaan memperkenalkan beberapa langkah utama. Antaranya bantuan RM300 akan diberikan secara one-off kepada pene­rima isi rumah BR1M.

Lebih menarik lagi, kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan satu hingga tiga mata peratusan. Ini menyebabkan pendapatan boleh guna akan meningkat dan dijangka seramai 300,000 orang tidak perlu lagi membayar cukai. Hakikatnya, pendapatan dari GST ini jugalah yang akan dikembalikan kepada rakyat melalui bantuan sosial seperti BR1M. Dengan faedah-faedah yang diperolehi ini, adilkah jika kita simpulkan bahawa GST akan membebankan golongan berpendapatan rendah?

GOLONGAN PERTENGAHAN DAN IKS DIPINGGIRKAN?

Golongan kelas pertengahan yang bijak akan dapat memperolehi manfaat daripada pengenalan GST dengan mengambil inisiatif merancang dan mengawal perbelanjaan. Beban mereka juga akan diringankan dengan pengurangan cukai individu dan penambahan pendapatan boleh guna oleh kerajaan.

Peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) yang memperolehi hasil jualan kurang dari RM500,000 setahun pula dikecualikan daripada mendaftar sebagai syarikat berdaftar GST serta tidak perlu mengutip dan membayar GST. Ini akan memastikan perniagaan mereka berdaya saing dan mampu menarik lebih ramai pelanggan.

SEMUA BARANGAN DAN PERKHIDMATAN KENA GST?

Salah satu salah faham berkaitan GST ialah semua barangan dan perkhidmatan akan dikenakan cukai GST. Hakikatnya terdapat tiga kategori barangan iaitu bekalan dikenakan cukai, bekalan cukai sifar dan bekalan dikecualikan cukai. Bekalan dikenakan cukai ialah barangan dan perkhidmatan yang dikenakan cukai, yang mana semua barangan dan perkhidmatan yang dijual dikenakan GST (output tax).

Jumlah output tax ini boleh ditolak dari input tax (GST dari pembelian barangan dan perkhidmatan tersebut). Bekalan cukai sifar pula ialah barangan dan perkhidmatan yang tidak tertakluk output tax, namun peniaga boleh menuntut input tax. Bekalan cukai sifar ini merangkumi barangan asas keperluan isi rumah seperti bahan asas makanan, hasil pertanian, bekalan ternakan.

Dalam masa sama, kerajaan juga mewartakan sejumlah barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan dari GST. Antaranya ialah tanah dan kediaman, pengangkutan awam, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan kewangan, caj tol lebuh raya serta perkhidmatan awam. Ini adalah bagi memastikan bahawa kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia terpelihara dan tidak dibebankan dengan GST.

Di sebalik salah faham tentang implikasi GST, terdapat banyak faedah pelaksanaannya. Ia akan lebih ketara dalam jangka masa panjang. Belajarlah daripada pengalaman negara-negara maju seperti New Zealand yang memperkenalkan model GST sejak 1986 lagi. Walaupun kadar GST mereka ialah 15%, namun kehidupan dan kebajikan rakyat sentiasa terjaga.

Pelaksanaan GST membolehkan lebih banyak pengagihan hasil negara kepada golongan berpendapatan rendah, seterusnya menjadikan jurang ekonomi antara rakyat semakin kecil.

Oleh Dr. Khairul Anuar Kamarudin
PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi Mara, Merbok, Kedah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...