Pages

Thursday, 13 November 2014

HUKUM SYARAK BERCANGGAH DENGAN PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

MEMBIMBANGKAN apabila bukti-bukti hukum syarak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan sudah terbuka luas dan nyata. Alasan penghakiman Mahkamah Rayuan yang memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan adalah salah satu tanda aras bahawa hukum syarak tidak boleh membatasi Perlembagaan Persekutuan. 

Alasan penghakiman itu juga merujuk Perlembagaan Persekutuan Perkara 4 (1) yang menyebut, 

"Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu."

Secara langsung hukum syarak menjejaskan jaminan hak kebebasan melalui Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan, 5(1) kebebasan diri, 8(1) kesamarataan, 8(2) diskriminasi, 9(2) kebebasan bergerak dan 10(1)(a) kebebasan bercakap dan bersuara.

Isu ini bukan hanya merujuk kepada kes-kes berkaitan trangender malah berkaitan kes-kes lain yang telah dirayu ke mahkamah sivil bagi menafikan keputusan-keputusan pembicaraan kes-kes mahkamah syariah. Keputusan kes hak penjagaan anak melibatkan S Deepa di Seremban dan M ‎Indira Gandhi di Ipoh serta suami mualaf mereka yang memutuskan Mahkamah Tinggi  memiliki bidang kuasa mengatasi Mahkamah Syariah. (banyak lagi kes-kes berkaitan yang tidak disebutkan dalam artikel ini)

Alasan-alasan yang diberikan mahkamah sivil sering tidak menyebelahi hukum syarak dan sekaligus sentiasa terdedah kepada kemungkinan diisytiharkan tidak sah.

"Alasan penghakiman tersebut memberi implikasi apabila sesuatu hukum syarak boleh diisytiharkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran yang liberal seperti yang diberi oleh mahkamah di negara-negara sekular.

"Apabila hukum syarak diukur dengan nilai liberal hak asasi ala-Barat dan apabila hukum syarak boleh dicabar atas alasan ia tidak munasabah kepada seseorang Hakim, termasuk yang bukan Islam, maka hukum syarak akan sentiasa terdedah kepada kemungkinan diisytiharkan tidak sah," bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad

Kes-kes ini akan menjadi kes rujukan di dalam kes-kes yang dibicarakan di Mahkamah Sivil di masa akan datang. Implikasi keputusan-keputusan mahkamah sivil ini akan membuka jalan untuk tuntutan-tuntutan yang diluar batas moral dan akhlak penganut agama Islam termasuk membenarkan perkahwinan sejenis dan hak bersekedudukan.

Hasilnya, masalah sosial akan menjadi porak peranda selagi satu pendekatan tidak diambil bagi menangani isu pertembungan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Walaupun rumit namun harus ditangani segera sebelum menjadi lebih parah.

Samada umat Islam peka atau tidak sudah tidak menjadi perkara pokok namun kesatuan umat Islam masih lagi kabur dan mungkin padam selagi umat Islam saling bercakaran demi memegang prinsip politik sempit. 


No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...