Pages

Thursday, 18 September 2014

JASA BRITISH KEPADA TANAH RIZAB MELAYU YANG PERLU ANDA TAHU

Wasiat raja-raja Melayu semasa pembentukan Perlembagaan Perse­ku­­tuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 menetapkan nisbah 50 peratus tanah di negara ini diperuntukkan kepada Tanah Rizab Melayu.

Satu daripada tujuh wasiat raja-raja Melayu menyebut: "Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain."

Amanat raja-raja Melayu itu dimaktubkan dalam Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri mengisytiharkan Tanah Rizab Melayu dan melarang sebarang bentuk penjualan ataupun pajakan tanah itu kepada bukan Melayu.

Secara tidak langsung, ketetapan itu mengukuhkan kedudukan dan kuasa Enakmen Rizab Melayu yang telah wujud seawal tahun 1913 iaitu kira-kira 100 tahun dahulu bagi menjamin pemilikan tanah oleh orang Melayu di bumi milik nenek moyang sendiri.

Sebelum kedatangan penjajah – penjajah Barat ke Tanah Melayu, sistem perundangan tanah yang digunapakai pada ketika itu adalah bercorak kepada Sistem Pemilikan Adat. Dalam konteks ini, tanah-tanah berkenaan adalah milikan bersama untuk satu suku atau kumpulan masyarakat yang telah menduduki tanah-tanah berkenaan sejak sekian lama. Pada ketika itu tidak wujud sempadan bagi mana-mana tanah individu dan ia secara langsung mewujudkan satu suasana masyarakat desa yang saling kenal mengenali antara satu sama lain. Di dalam komuniti masyarakat tradisi ini ia akan diketuai oleh seorang Ketua Kampung atau Penghulu yang dilantik dari kalangan mereka.

Selain daripada itu juga, semasa era pra penjajahan Barat, terdapat 2 jenis pemilikan tanah yang digunapakai oleh masyarakat Melayu Tradisional. Antaranya ialah, pemilikan tanah oleh golongan bangsawan (pembesar – pembesar dan pegawai – pegawai kanan kerajaan). Mereka ini juga memiliki laluan sungai utama dan kawasan perlombongan di dalam kawasan yang berada dibawah pentadbiran dan kekuasaan mereka. Manakala jenis yang kedua ialah tanah – tanah yang dimiliki oleh golongan petani. Tanah-tanah berkenaan akan dibuka dan diusahakan oleh golongan berkenaan tanpa batasan dan halangan dibawah undang-undang feudal pada ketika itu. Selain itu juga, keluasan tanah bagi sesuatu kawasan adalah luas dan boleh diterokai tanpa sebarang keperluan yang harus dipenuhi oleh masyarakat petani feudal zaman kuno.

Terdapat juga sesetengah kawasan yang merupakan kawasan tanah kurniaan Sultan kepada pembesar atau pegawai-pegawai kerajaan. Tanah-tanah berkenaan akan diusahakan oleh golongan petani dan hamba dan hasilnya akan diserahkan kepada pembesar-pembesar berkenaan dan Sultan yang dikenali sebagai Cukai Hasil. Semasa awal era penjajahan Inggeris di Tanah Melayu, orang-orang Melayu telah membuka hutan bagi tujuan pembukaan tanah-tanah pertanian dan kedatangan imigran-imigran Cina, India dan Eropah telah mengakibatkan banyak kawasan-kawasan tanah milik orang Melayu telah dijual kepada mereka. Pada ketika itu, Penjajah British telah memperkenalkan sistem pertanian moden yang boleh menghasilkan pulangan pendapatan yang lebih dari pertanian tradisional seperti getah, kelapa sawit, koko dan sebagainya.

Penemuan bijih timah dan bahan-bahan galian yang lain juga telah mengakibatkan banyak tanah milikan Melayu terjual kepada syarikat-syarikat perlombongan sama ada milik saudagar China atau Eropah. Pada tahun 1891, Sir William Maxwell telah memperkenalkan 2 bentuk pendaftaran hakmilik tanah iaitu “tanah-tanah milik orang Eropah” dan “tanah – tanah yang dipegang dibawah hakmilik adat”. Bagi mengelakkan tanah-tanah natif ini jatuh ke tangan pendatang, British telah mengenakan syarat bahawa tanah adat tidak dibenarkan dipajak atau digadai dan pada tahun 1897, Daftar Hakmilik Mukim (Mukim Register) telah diperkenalkan Pembangunan ekonomi Tanah Melayu pada awal kurun 20 telah menyaksikan sumbangan dari sektor perlombongan dan pertanian komersil yang banyak. Ini telah mengakibatkan golongan-golongan pendatang yang terdiri daripada saudagar-saudagar Eropah dan Cina untuk memiliki tanah-tanah berkenaan melalui pembelian tanah dari masyarakat tempatan yang terdiri daripada orang-orang Melayu. Disebabkan permintaan yang tinggi terhadap tanah-tanah yang mempunyai hasil bumi yang kaya serta kedudukan yang berhampiran dengan bandar-bandar utama telah mengakibatkan nilai tanah semasa semakin meningkat. Akibatnya banyak pemilik-pemilik tanah yang terdiri daripada masyarakat Melayu telah menjual tanah-tanah mereka kepada golongan pendatang.

Disebabkan oleh senario pembukaan tanah oleh masyarakat Melayu dan seterusnya dijual kepada saudagar-saudagar asing, pihak Pentadbir Kolonial British telah merasakan bahawa bangsa Melayu akan kehilangan tanah mereka pada suatu masa nanti jika amalan ini berterusan. Oleh yang demikian, Kerajaan Inggeris telah memperkenalkan satu enakmen yang dikenali sebagai Enakmen Rizab Melayu pada tahun 1913 yang bertujuan untuk menjaga dan menjamin kepentingan bangsa Melayu ke atas tanah dan juga untuk memastikan tanah-tanah berkenaan tidak jatuh ke tangan bukan Melayu. Tujuan utama British memperkenalkan Enakmen Rizab Melayu ini adalah untuk mencegah orang-orang Melayu dari menjual dan memperolehi keuntungan daripada penjualan tanah-tanah ini kepada bukan Melayu.

Setelah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, tanggungjawab untuk menjaga kepentingan Tanah Rizab Melayu telah berpindah daripada tugas seorang Residen British kepada Menteri Besar. Di dalam Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan Fasal 86 berhubung dengan Tanah Rizab Melayu serta disokong oleh enakmen-enakmen rizab Melayu yang diwarisi dari Kolonial British yang terus menerus diamalkan. Walaubagaimanapun, isu-isu berhubung dengan Tanah Rizab Melayu mula diberi perhatian pada masa kini. Ini adalah kerana perkembangan dan aliran program-program pembangunan yang pada asalnya terdapat di kawasan perbandaran sedia ada tetapi telah meluas ke kawasan – kawasan luar bandar.

Sumber : Pelbagai

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...