Pages

Wednesday, 21 May 2014

APA LEBIHNYA CALON BN DENGAN CALON DAP! NAK KATA CANTIK PUN TAK #PRKTelukIntan

Peperangan persepsi di Pilihanraya Kecil DUN Teluk Intan bertambah rancak. Calon Melayu DAP lebih menonjol mempunyai kelebihan melalui paras rupa. Jika dibuat perbandingan bagi tujuan Pertandingan Ratu Cantik, sudah pasti calon DAP sudah menang disaat dicalonkan.

Namun pertandingan dalam pilihanraya bukanlah tempat pertandingan membandingkan rupa paras tetapi memilih pemimpin untuk memikul tanggungjawab dan amanah pengundi. Jika rupa paras dijadikan ukuran, malanglah kepada pengundi Teluk Intan.

Admin sempat memetik satu post Lim Sian See, Kenapa Mah Siew Keong calon terbaik untuk BN di Teluk Intan :

1) Beliau orang Teluk Intan – semua bangsa menghormati fakta ini.

2) Kelayakan akademik beliau cukup bagus dan mungkin beliau sebenarnya terlebih kelayakan. Ahli politik mana di Malaysia hari ini yang memiliki ijazah Bachelor of Science dari London School of Economics, ijazah Kehormat Perundangan dari University of East London DAN MBA dari City University London ?

3) Beliau ada trek rekod cemerlang berkhidmat untuk masyarakat dari dulu.

4) Keluarga beliau adalah antara keluarga terkaya di Teluk Intan dan banyak menyumbang kepada pembinaan bangunan dan sekolah di situ dan malahan bangunan perpustakaan awam di situ tertera nama keluarga Mah di bangunannya. Sudah tentu beliau tidak akan melakukan sesuatu yang tidak bagus di Teluk Intan dan menjejaskan nama baik keluarganya selepas sekian lama. Pengundi menyedarinya.

5) Sebenarnya beliau adalah segelintir calon pilihanraya dari BN yang undinya meningkat naik pada tahun 2013( 20 ribu) berbanding tahun 2008 (17 ribu) – bermakna beliau menerima sokongan kuat berdasarkan semua kaum, termasuk pengundi berbangsa Cina.

6) Di usia 53 tahun, beliau di kemuncak kuasanya dari segi pengalaman, komunikasi dan pengetahuan untuk membantu Teluk Intan menjadi lebih pesat membangun, mencipta lebih banyak peluang kerja dan berkhidmat untuk masyarakat. Jika anda mengatakan beliau sudah berusia, sayugia diingatkan bahawa Dato Seri Anwar Ibrahim 12 tahun lebih tua dan Lim Kit Siang sebenarnya DUA PULUH tahun lebih tua dari beliau namun mereka masih berkhidmat sebagai Ahli Parlimen. Janganlah hipokrit. Usia 53 tahun boleh dianggap masih muda dan masih ada tujuh tahun sebelum umur persaraan umum.

7) Selain bijak dan boleh dipercayai, beliau juga individu yang cukup merendah diri dan disenangi.

8) Beliau bebas dari skandal dan dakwaan rasuah. Beliau sememangnya orang yang begitu kaya (ada yang mengatakan nilai kekayaannya ratusan juta ringgit) maka tidak perlulah untuk beliau menjadi korupsi atau mencari peluang mengumpul kekayaan.

9) Masyarakat Cina di Teluk Intan bersikap realistik dan pragmatik. Teluk Intan adalah tempat yang tidak menerima banyak pembangunan sejak enam tahun yang lalu di bawah DAP dan kemajuan ekonomi dan infrastruktur pada dasarnya telah tergendala. Masyarakat Cina akan mengundi Mah kerana ini adalah pilihanraya kecil dan kerajaan tidak dapat diubah. Sama ada DAP ada 38 atau 37 (jika mereka kalah di Teluk Intan) kerusi parlimen, ia tidak membawa sebarang perubahan dalam suasana menyeluruh. Tahun 2014 bukanlah untuk kempen Ini Kalilah atau Ubah.

Masyarakat Cina juga menyedari bahawa pengalaman dan jaringan Mah semasa beliau berkhidmat di MITI dan MATRADE akan dapat membantu menjana peluang pekerjaan dan hubungan baik di antara beliau dengan Menteri Besar Perak, Dato Seri Zambry akan turut membantu.

10) Hadapilah kenyataan. Masih ada masyarakat Cina yang akan cenderung memilih calon berbangsa Cina. Masyarakat Cina di Teluk Intan juga bimbang jika Ahli Parlimen bukan berbangsa Cina dipilih, di masa akan datang BN mungkin memutuskan untuk menggantikannya dengan calon dari UMNO atau berbangsa Melayu dan untuk selama-lamanya tidak akan ada Ahli Parlimen berbangsa Cina di situ.

11) Mah adalah presiden parti Gerakan dan pengundi di Teluk Intan mengetahui bahawa jika Mah menang, ada kemungkinan besar bahawa Mah akan dipilih menjadi menteri penuh. Masyarakat di Teluk Intan akan berbangga dan turut realistik bahawa seorang menteri penuh dalam kabinet bermakna akan ada lebih banyak peruntukan untuk Teluk Intan. Mereka juga menyedari bahawa sebagai presiden parti Gerakan, beliau boleh mengarahkan seluruh jentera Gerakan untuk membantunya memberikan khidmat kepada masyarakat Teluk Intan. Mereka juga tahu memandangkan parti Gerakan hanya ada satu kerusi sekarang, kerusi kedua bagaikan satu kurniaan kepada Gerakan dan akan dijaga seperti menatang minyak yang penuh.

12) Teluk Intan telah sentiasa menjadi kerusi Gerakan dan ia terpulanglah kepada Gerakan untuk menamakan calon mereka. Gerakan memilih presiden mereka dan ia tindakan yang cukup berani! Ini adalah kali pertama seorang presiden parti komponen BN bertanding dalam pilihanraya kecil. Jika beliau kalah, anda boleh mengucapkan selamat jalan kepada Gerakan dari BN. Masyarakat Cina juga sebenarnya tidak mahu Gerakan meninggalkan BN.

13) Sebab paling penting ... saya telah bertemu beliau sebelum ini dan beliau berhak menjadi Ahli Parlimen. Lim Sian See tidak pernah tersilap.

Apa pun, jika UMNO dan MIC dan seluruh jentera parti BN berkerja-keras dan undi dari masyarakat Melayu dan India dapat diperolehi serta jangkaan bahawa peratusan pengundi masyarakat Cina yang keluar mengundi menurun serta masyarakat Cina yang lebih sederhana pendirian politiknya, berubah arah, ia bermakna Mah akan menang.

Lim Sian See

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...