Pages

Monday, 11 November 2013

WARDEN ASRAMA BULI PELAJAR SEKOLAH!

"Kami sudah tidak tahan lagi," kata salah seorang pelajar di sebuah asrama sekolah di daerah ini yang mendakwa mereka sering menjadi mangsa buli warden mereka.

Menurut mereka, warden berkenaan yang sepatutnya ditugaskan menjaga pelajar, sering bersikap biadab sehingga mengundang rasa kurang senang sekumpulan pelajar sekolah berusia 13 hingga 17 tahun di asrama berkenaan.

Salah seorang pelajar, Mila (bukan nama sebenar) berkata, dia mewakili pelajar di sekolah berkenaan memohon supaya warden yang juga guru di sekolah tersebut ditukarkan.

Menurutnya, sikap penjaga asrama itu sangat dikesali kerana terlalu biadab dan lebih parah lagi ada pelajar yang menjadi mangsa sehingga ditampar dan dimaki-hamun tanpa sebab munasabah.

“Saya mewakili pelajar yang lain merayu pihak sekolah mahu pun Jabatan Pelajaran, membuat sesuatu terhadap masalah ini.

“Dengan kelakuannya yang biadab dan selalu mencari masalah menyebabkan kami tertekan untuk tinggal di asrama," katanya.

Mila berkata, sebahagian besar mereka tinggal di asrama kerana mahu hidup berdikari dan tidak mahu membebankan keluarga.

"Tapi kini semuanya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila sering bertengkar dan dibuli guru berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Tambahnya, dia bukan saja pernah dimaki warden tersebut tanpa sebab, malah warden itu juga pernah bertindak agresif dengan membaling kerusi ke arah pelajar bagi melepaskan kemarahannya.

"Bukan saya seorang sahaja tetapi hampir semua pelajar asrama dibuli dan menjadi mangsa warden tersebut," katanya.

Sementara itu, rakannya, Siti (bukan nama sebenar) berkata, warden itu bukan saja tidak menjalankan tugasnya dengan baik, malah telefon bimbitnya juga sering ditutup walaupun pada hari bertugas sehingga menyukarkan pelajar menghubunginya.

“Kami bimbang, sekiranya berlaku hal-hal kecemasan dengan siapa lagi kami mahu merujuk melainkan dengan warden yang bertugas," katanya.

Tambah Siti, dia dan pelajar lain sudah menghantar surat aduan kepada Kementerian Pendidikan di Putrajaya dan Jabatan Pelajaran negeri pada 8 Julai lalu.

Sinar Harian

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...