Pages

Tuesday, 19 November 2013

#VillaNabila : Kisah Yang Menipu, Yang Kena Tipu dan Yang Tertipu

Kepercayaan kepada perkara tahyul dan khurafat sudah menjadi perkara biasa pada orang Melayu. Sejak berzaman-zaman lamanya, orang Melayu tidak lari daripada hantu dan jembalang hingga difilemkan bagi menunjukkan hantu dan jembalang Melayu yang hebat-hebat hingga ada yang boleh terbang. Tidak dinafikan adanya Jin dan Syaitan seperti yang disebut di dalam Al-Quran namun kepercayaan kepada tahyul dan khurafat boleh membawa kepada syirik. Nauzubillah..

Sejak beberapa hari ini kecoh tentang sebuah rumah banglo tinggal, Villa Nabila  yang terletak di kawasan pembangunan Danga Bay, Johor Bahru yang turut disenaraikan sebagai antara lima tempat berhantu di Malaysia oleh sebuah portal pelancongan Amerika Syarikat dikenali sebagai Expedia. Kisah yang disebarkan di laman sosial didakwa kononnya 30 orang remaja yang masuk ke dalam villa berkenaan namun yang berjaya keluar hanya tujuh orang. Topik Villa Nabila turut menjadi topik popular atau trending di Twiiter ekoran daripada kejadian tersebut.

Menurut cerita yang berkisar di laman sosial, 23 orang yang hilang masih belum lagi ditemui biarpun operasi mencari oleh anggota polis dan bomba telah dijalankan hingga kononnya ada yang mendengar jeritan meminta tolong dari dalam kawasan Villa Nabila.

Bagaimanapun, selepas siasatan polis mengesahkan bahawa hanya satu laporan kehilangan seorang remaja bernama Mohd Izzat Izzudin Hussin yang 16 tahun dan telah ditemui malam tadi menyorok di rumah teman wanitanya di Flat Desa Mutiara, Johor Bahru.

Begitu hebatnya kisah kehilangan remaja ini bermula. Dek kerana mendengar berita palsu itu, orang ramai datang mengerumuni kawasan pintu masuk ke villa itu sejak pukul 3 pagi pada hari kejadian hingga deretan kereta diletakkan di bahu jalan begitu panjang sehingga ramai yang sanggup berjalan kaki untuk sampai ke pintu masuk Villa Nabila.

Beginilah kehidupan rakyat di Malaysia. Begitu mudahnya tertipu akan cerita khabar angin dan cepat percaya kepada apa yang disebarkan tanpa menyelidik dahulu sumber dan punca cerita sebenarnya. Begitu jugalah apa yang berlaku tentang khabar angin yang disebarkan mengenai sebuah restoran Vanggey di Ipoh yang akhirnya penyebar berita palsu tersebut mengelabah memohon maaf kepada pemilik restoran tersebut. 

Pada pemerhatian teman, banglo tinggal tersebut tak lebih daripada sarang penagih dadah untuk melepaskan gian semata-mata. Hantu dan jembalang yang digembar-gembur hanyalah untuk penagih ini melakukan aktiviti mereka supaya tidak diganggu.

Walaubagaimanapun, jadikan ini sebagai pengajaran kepada kita supaya tidak tertipu lagi. Sama-samalah kita belajar daripada kesilapan dan cuba selidik dahulu dan mengenalpasti sumber sahih sebarang berita sebelum menyebarkannya. Wallauaqlam...

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...