Pages

Saturday, 9 November 2013

ULAMA LAWAN LIBERAL! SIAPA YANG MENANG?


Kumpulan Ulama PAS nampaknya cuba mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati bagi memastikan hanya seorang calon dari kumpulan tersebut bertanding untuk jawatan tertinggi parti. Ia bagi mengelakkan perpecahan undi berlaku seperti yang terjadi dalam pemilihan Muktamar parti itu sebelum ini.

Pada pemilihan tersebut, bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah Mohamad Sabu berjaya menduduki jawatan Timbalan Presiden parti apabila undi golongan ulama dikatakan berpecah selepas persaingan turut menyaksikan 'pertembungan' dua ulama iaitu Nasharudin Mat Isa dan Tuan Ibrahim.

Oleh yang demikian, bagi mengelakkan ‘pisang berbuah dua kali’, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man melalui laman sosial Facebooknya semalam, memutuskan untuk tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden sebaliknya hanya akan bertanding jawatan Naib Presiden sahaja pada pemilihan Muktamar Tahunan Pas ke-59 November ini.

“Di dalam perlembagaan PAS, hak pencalonan diberikan sepenuhnya kepada PAS kawasan, manakala yang di calon pula diberikan hak untuk menerima atau tidak menerima.

“Keputusan seseorang calon untuk tidak menerima pencalonan bukan bermakna calon tidak menghargai pencalonan kawasan, manakala keputusan menerima pula tidak harus dilakukan sekadar untuk alasan merai kehendak kawasan.

“Setelah meneliti ketiga-tiga jawatan yang saya dicalonkan, antara Ahli Jawatankuasa, Naib Presiden dan Timbalan Presiden, maka saya dengan rendah diri menawarkan diri untuk menerima pencalonan sebagai Naib Presiden dalam Muktamar PAS ke-59 kali ini” ujarnya.

Lidah rasmi PAS, Harakah sebelum ini, melaporkan Jawatankuasa Pemilihan parti itu telah menerima seramai 5 nama untuk pencalonan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden iaitu Mohamad Sabu (penyandang), Datuk Husam Musa, Salahuddin Ayub,Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Tuan Ibrahim.

Namun Salahuddin dilaporkan telah mengumumkan untuk menarik diri daripada bertanding jawatan tersebut kerana merasakan tidak ada keperluan untuknya bertanding jawatan tersebut buat masa ini.

Husam pula dikatakan masih mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ apabila mengatakan hanya akan membuat keputusanuntuk bertanding mana-mana jawatan tertinggi parti selepas, Tuan Ibrahim membuat keputusan.

Sekiranya Husam turut mengambil pendekatan menarik diri, bagi mengelakkan perpecahan undi kumpulan liberal PAS, pemilihan parti itu pada hujung bulan depan bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu. Ia sekali gus bakal menyaksikanpertembungan antara kumpulan pro ulama menentang kumpulan liberal yang sinonim dengan gelaran Endorgan atau Anwarista.

Parti itu sebelum ini menetapkan Muktamar PAS ke-59 akan diadakan di Stadium Melawati Shah Alam mulai 22 hingga 24 November depan akan menyaksikan pemilihan untuk jawatan tertingginya.

Keputusan parti itu untuk mengadakan pemilihan pada tahun ini, berjaya menarik perhatian ramai apabila Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz membuat kenyataan yang meminta agar para perwakilan memilih ulama sebagai Timbalan Presiden parti.


Kenyataan Nik Aziz itu dilihat sebagai isyarat jelas ulama harus kembali menjadi Timbalan Presiden selepas jawatan itu 'terlepas'kepada golongan bukan ulama dalam pemilihan lalu. Malah Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib dikatakan turut menyokong penuh saranan yang dikemukan oleh Nik Aziz itu.

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...