Pages

Wednesday, 6 November 2013

TIDUR SATU BANTAL, MIMPI LAIN-LAIN

‘Tidur satu bantal tapi mimpi lain-lain’, demikianlah yang termampu kita luahkan apabila berbahas tentang hubungan DAP dan PAS sejak sekian lama.

Empat puluh tahun lalu, semasa Allahyarham Tun Abdul Razak melancarkan Barisan Nasional pada tahun 1973, PAS memilih untuk menyertai perikatan parti pemerintah yang baru itu tetapi tidak DAP.

Ada yang berpendapat mereka tidak pernah dijemput tetapi jika benar pun, apakah DAP akan menyertainya jika mereka dipelawa oleh BN?

Semasa Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) melancarkan Semangat 46 dan cuba membentuk sebuah pakatan pembangkang bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) 1990, DAP langsung tidak mahu turut serta jika membabitkan PAS.

Justeru Ku Li terpaksa membentuk dua buah pakatan, iaitu Gagasan Rakyat di pantai barat bersama DAP, dan Angkatan Perpaduan Ummah atau APU di pantai timur bersama PAS. Pada masa itu, jelas DAP masih tidak mahu tidur sebantal dengan PAS.

Lebih sembilan tahun berlalu iaitu pada tahun 1999, barulah DAP mula mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan PAS apabila Anwar Ibrahim membentuk Parti Keadilan Nasional, yang menjadi pelopor kepada pakatan pembangkang yang baru dikenali sebagai Barisan Alternatif.

Bagaimanapun ia tidak kekal lama apabila PAS meluluskan rang undang-undang Islam di Dewan Undangan Negeri Terengganu tidak lama selepas PRU 1999, dan DAP meninggalkan gandingan itu dengan perasaan marah.

Malahan, DAP sebenarnya mencari helah untuk meninggalkan Barisan Alternatif kerana merasakan ia gagal mencapai keputusan yang cemerlang dalam PRU 1999 gara-gara bersekongkol dengan PAS.

DAP merasakan ia mampu melakukan yang lebih baik jika bertanding di atas tiket sendiri dan bukannya di bawah bendera Barisan Alternatif.

Maka pada PRU 2004, DAP mengambil keputusan meninggalkannya dengan tidak menjadi salah satu komponen pakatan pembangkang bersama PAS.

DAP berpendapat bahawa pengundi Cina telah menghukumnya pada PRU 1999 kerana bekerjasama dengan PAS. Jika ia bertanding atas tiket sendiri pada PRU 1999, sudah pasti ia akan mencapai yang lebih baik.

PAS dengan agenda perjuangannya menubuhkan sebuah negara Islam dilihat sebagai penghalang kepada cita-cita DAP. Maka pada tahun 2004, DAP memutuskan untuk keluar dari Barisan Alternatif dan menguji sama ada ia mampu berjaya tanpa ada apa-apa hubungan dengan PAS.

Sememangnya sejak awal lagi DAP lebih mengutamakan sokongan orang Cina berbanding sokongan rakyat pertengahan. DAP lebih bimbang terhadap apa yang difikirkan oleh MCA dan Gerakan berbanding apa yang difikirkan orang Melayu.

Pengundi Cina

Bagi DAP, pengundi Cina adalah lebih penting, justeru segala tutur kata dan tingkah laku parti itu adalah demi orang Cina dan bukannya untuk rakyat pertengahan.

Bagaimanapun DAP mula menyedari bahawa kekuatan kaum Cina sudah mula mengecil manakala rakyat pertengahan pula semakin berkembang.

Oleh itu masa depan DAP tidak lagi bergantung kepada sokongan orang Cina semata-mata. Sekalipun mampu meraih 100% sokongan pengundi Cina namun sebenarnya DAP hanya boleh memenangi kurang 20% daripada kerusi di parlimen dan hanya satu negeri, iaitu Pulau Pinang.

DAP oleh itu tidak lagi boleh menumpukan kepada agenda perjuangan kaum Cina. Ia kini perlu dilihat sebagai pejuang untuk semua kaum.

Tetapi untuk menagih sokongan berbilang kaum bermakna DAP memerlukan Pakatan Rakyat. DAP di atas kudrat sendiri tidak boleh mara lebih jauh dari apa yang telah dicapai setakat ini.

Perjuangan untuk pelbagai kaum juga bermakna DAP perlu mengurangkan agenda kaum Cina. Namun ia belum bersedia untuk melakukannya kerana walaupun undi orang Cina mampu dimonopoli oleh DAP tetapi undi orang Melayu pula masih berpecah antara Umno, PAS dan PKR.

Ia mahu menikmati kesemuanya. DAP mahu membolot kesemua undi Cina tetapi undi Melayu pula mahu dikongsi bersama PAS dan PKR di bawah payung Pakatan Rakyat.

Pemilihan parti DAP pada 15 Disember 2012 dan pemilihan semula selepas itu pada 29 September 2013 telah mendedahkan bahawa DAP pada dasarnya adalah sebuah parti orang Cina yang memainkan politik perkauman Cina.

Ia gagal menunjukkan bahawa ia adalah parti untuk pelbagai kaum seperti yang cuba digembar-gemburkan.

DAP mengalami krisis identiti yang serius. Ia mahu dilihat sebagai parti ‘moden’ untuk pelbagai kaum tetapi pada masa yang sama tidak mahu mengorbankan ciri perkaumannya. DAP mahu yang terbaik daripada kedua-duanya.

Maka di sinilah DAP akan mendapati bahawa ia mesti memilih antara yang satu atau yang lain, dan hanya akan memberi isyarat yang salah kepada orang Melayu jika cuba menjadi kedua-duanya.

Keputusan siapa yang memerintah terletak di atas bahu orang Melayu dan peribumi Sabah dan Sarawak. Tidak dapat dinafikan yang penentunya di tangan rakyat Sabah dan Sarawak.
Bagaimana pula PAS?

Umno sendiri boleh membentuk kerajaan dengan tidak sampai separuh kerusi dalam parlimen. Namun dengan sokongan Sabah dan Sarawak, ia mampu untuk memerintah selama-lamanya.

DAP melalui Pakatan Rakyat boleh membentuk kerajaan persekutuan sekiranya Sabah dan Sarawak berpihak kepada pembangkang, tetapi hanya jika PAS dan orang Melayu dalam PKR menyetujuinya.

Orang Cina telah membuktikan dalam pilihan raya umum pada Mei 2013 bahawa mereka boleh bersatu. Ini menakutkan orang Melayu.

Ramai di kalangan PAS mahu parti itu mengkaji semula hubungan dengan DAP. Budaya politik baru kini tidak lagi berkisar kepada Barisan Nasional menentang Pakatan Rakyat tetapi Cina menentang Melayu.

Di sinilah terletaknya masa depan Umno dan yakinilah bahawa parti itu akan mengeksploitasi permainan politik baru itu demi kelangsungannya.

Dalam permainan ini, DAP akan kalah kerana undi kaum Cina telah pun ditagih sepenuhnya oleh mereka manakala undi orang Melayu masih berpotensi untuk diraih oleh pihak lain.

Maka dalam pemilihan Umno 2013 yang baru berakhir, menyaksikan parti itu bergerak ke haluan kanan sebagaimana pemilihan parti DAP baru-baru ini menyaksikan DAP bergerak ke haluan kiri.

Persoalan yang lebih besar kini ialah di manakah pemilihan parti PAS akan membawa parti itu?

Pada hemat saya, ia akan menjadi lebih berhaluan Islam daripada sekarang apabila golongan ulama akan mengetepikan golongan liberal. Dan ini pasti sama sekali tidak akan menggembirakan DAP.

Anna Majid

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...