Pages

Friday, 8 November 2013

SEKALI LAGI UMNO KENA TIPU! TAK SERIK-SERIK!

Menurut analisis oleh MCA, BN dikatakan mampu meraih sehingga 49% dari 1,185 pengundi Cina dalam PRK Sungai Limau. Dari situ, disimpulkan bahawa masyarakat Cina telah kembali menyokong BN sejak tsunami Cina dalam PRU-13 yang lalu. 

Namun, mengikut analisis yang lain pula, dikatakan bahawa undi Cina yang sebenarnya membenamkan BN di Sungai Limau. Analisis ini adalah berdasarkan peti undi PDM Bukit besar yang dikatakan sebagai kawasan cina di mana PAS telah menang besar dengan majoriti 1114 undi iaitu 1557 undi berbanding BN 443.

Sudah menjadi kelaziman bagi orang kita untuk memilih mana-mana analisis untuk dipercayai berdasarkan kecenderungan politik ataupun kepentingan dirinya. Selalunya, tidak kira apa fakta yang dibentangkan, ramai yang memilih untuk mempercayai apa yang ingin dipercayainya saja. 

Justeru, jika kita ingin mencari apakah makna undi Cina di Sungai Limau, kita perlu melihatnya dari kedua-dua sudut analisis yang berbeza tadi dan juga jauh di sebaliknya.

Jika kita lihat secara terperinci, kita akan dapati bahawa kebanyakan rakyat dan juga petugas UMNO meragui analisis yang dibentangkan MCA. Bagaimanapun, DAP dan juga PAS, melalui Harakah pula, beria-ia ‘membela’ analisis MCA. 

Lim Kit Siang juga nampaknya dengan sengaja ‘menaikkan’ nama MCA dengan menyebut bahawa ‘MCA menang besar dan UMNO kalah teruk’ di Sungai Limau. Bersungguh-sungguh sekali nampaknya DAP dan MCA mendesak agar analisis itu diterima sementara PAS menyambutnya bagai burung kakak tua yang setia. 

Penting sekali nampaknya bagi masyarakat Cina, untuk memastikan yang kepimpinan mendapat mesej mereka iaitu masyarakat Cina kembali mengundi BN.

Dari temubual dengan masyarakat Cina di Sungai Limau yang disiarkan oleh portal pro-pembangkang beberapa hari sebelum PRK, beberapa orang dari mereka telah mengakui bahawa masyarakat Cina di situ mengundi sebagai satu entiti, iaitu mereka berbincang dan memutuskan parti mana untuk diundi secara bersepadu. 

Jika ini benar, maka trend pengundian kaum ini di Sungai Limau wajib dilihat dengan lebih mendalam. 

Masyarakat Cina di Kedah sebelum ini diketahui sebagai ‘kurang senang’ dengan arwah Tan Sri Azizan Razak. Mereka menyifatkan Tan Sri Azizan sebagai terlalu konservatif kerana meletakkan syarat ‘yang bukan-bukan’ bagi sebarang aktiviti di negeri Kedah. Antaranya, papan iklan yang memaparkan gambar wanita haruslah menutup aurat dan artis yang mengadakan persembahan di tempat terbuka perlu memastikan pakaian yang sopan. Selain itu, Kedah juga suatu ketika menyaratkan agar semua pusat hiburan ditutup di bulan Ramadan. 

Seringkali, DAP terpaksa memberi tekanan kepada Tan Sri Azizan melalui PAS pusat agar negeri Kedah ‘melonggarkan’ atau membatalkan sahaja syarat-syarat tersebut. Seringkali juga, DAP menang. 

Masyarakat Cina di Kedah mula merasakan yang PAS tidak sesuai untuk mereka dan mungkin kerana itu mereka kembali mengundi BN dalam PRK Sg. Limau. 

Namun, senario ini juga diragui kerana apabila Datuk Paduka Mukhriz Mahathir mengambil-alih Kedah, beliau dari awal lagi menyatakan bahawa beliau perlu mendahulukan mereka yang menyokongnya, iaitu masyarakat Melayu. Kenyataan beliau telah menimbulkan kemarahan masyarakat Cina di Kedah tidak kira dari DAP ataupun MCA. Masyarakat Cina secara keseluruhannya menganggap Mukhriz ingin membalas dendam dan bersikap tidak adil terhadap mereka. 

Nampaknya, ‘keadilan’ juga boleh ditafsir secara berbeza-beza bagi masyarakat Cina. 

Apakah adil jika Mukhriz memberi kelebihan atau melayan mereka yang menolaknya secara sama rata dengan pihak yang menyokongnya? Apakah bijak bagi Mukhriz untuk memberi bantuan kepada mereka yang ingin menjatuhkannya, malah sering mengutuk bapanya? 

Dengan kesungguhan DAP dan MCA yang bergerak secara bersepadu dan bersatu untuk meyakinkan kepimpinan bahawa masyarakat Cina di Sungai Limau telah kembali kepada BN. maka jelaslah bahawa kaum itu cukup terkesan dengan perbuatan mereka sendiri yang menolak BN mentah-mentah dalam PRU lalu. 

Jelaslah bahawa kaum Cina masih memerlukan BN untuk hidup senang. 

Apa yang dikhuatiri ialah, keterdesakan mereka untuk ‘mengambil hati’ BN telah menyebabkan mereka memaparkan analisis yang tidak tepat kepada kepimpinan. 

Malangnya tiada cara yang tepat untuk memastikan apakah yang memberi undi kepada BN di kawasan Cina di Sungai Limau adalah orang Cina atau orang Melayu. Namun, memandangkan trend sekarang menyaksikan bahawa orang Melayu menolak PAS, maka tidak mustahil bahawa yang meningkatkan undi BN di Sg. Limau adalah sebenarnya orang Melayu, bukan Cina. 

Jika ini benar, maka ia bermakna bahawa UMNO telah sekali lagi ditikam belakang oleh MCA. Jika ini benar juga bermakna bahawa peruntukan yang tidak masuk akal yang diberi kepada sekolah Cina di Sungai Limau adalah tindakan bodoh dan sia-sia. 

Apa yang pasti, dari sikap DAP dan MCA dalam memperkatakan mengenai undi masyarakat Cina di Sungai Limau menunjukkan yang mereka telah belajar sesuatu dari PRU-13, tetapi UMNO masih lagi tidak belajar apa-apa…. 

1 comment :

  1. UMNO tidak perlu la menagih undi Cina, bantulah orang Melayu sepanjang masa, nescaya mereka akan memangkan UMNO sebab orang Melayu ni jenis bangsa yang mengenang budi, bangsa Cina jangan harap la, kita tidak benci orang Cina tapi kita perlu perkuatkan bangsa Melayu untuk membolehkan kita gah di bumi Malaysia, UMNO hendaklah ikhlas bantu orang Melayu bukannya bermusim, politik bermusim akan menghancurkan UMNO, jika masih amalkan perkara ini, UMNO akan ditunjukkan jalan keluar pada PRU 14.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...