Pages

Tuesday, 19 November 2013

SANDIWARA PAS MENGENAI HUDUD! ALASAN..

Nampaknya menjelang Muktamar Tahunan Pas ke-59 yang akan diadakan pada 21 dan 22 November ini, rakyat bakal disajikan dengan pelbagai drama dan sandiwara terbaru yang menggelikan hati.

Antara kenyataan Ketua Penerangan parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengatakan Pas akan mendesak negeri-negeri yang dikuasai oleh pakatan rakyat (Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang) untuk melaksanakan hudud.

Bukanlah niat untuk memperlekehkan usaha parti itu, namun umum mengetahui rakan sekutu mereka DAP dan PKR tidak pernah bersetuju dengan pendirian parti itu yang sering mendakwa ingin memperjuangkan Islam.

Ini kerana DAP memang sejak dari dahulu lagi memang terkenal sikap cauvinisme / ultra kiasunya dan begitu tebal dengan semangat kecinaan mereka. Malah melalui analisa dan kajian yang dilakukan, DAP masih tetap dengan perjuanganaliran sosialis demokratnya, yang ditunjangi dengan fahaman sekular "sama rata sama rasa" dan ingin menghasilkan negara yang berorientasikan Konsep Malaysian Malaysia.

Itu belum lagi diambil kira kenyataan Pengerusi parti itu yang pernah mengatakan untuk meminta mana-mana pemimpin untuk melangkah mayatnya dahulu, sekiranya ingin menjadikan Malaysia sebagai negara Islam. Malah dia melalui kenyataan terbarunya turut mendesak agar Pas dibatalkan pendaftaran kerana disifatkan sebagai sebuah pertubuhan yang berbahaya.

Manakala bagi pihak PKR pula, melalui perjuangan ‘pemimpin anugerah tuhan’ yang ingin membangunkan sebuah negara liberal yang berasaskan pluralisme agama. Malah disebabkan faham pluralisme agamanya itu PKR turut sama memperjuangkan kalimah Allah agar boleh digunakan oleh gereja untuk menerbitkan naskah Bible versi Bahasa Melayu.

Paling menarik, apabila Anwar dengan segala tipu daya dan helahnya telah berjaya mempengaruhi Pas sehingga sanggup menggadaikan dan menggugurkan slogan negara Islam yang menjadi asas perjuangan sejak dahulu dengan menerima konsep negara kebajikan.

Perbezaan ideologi antara ketiga-tiga parti terbesar di dalam pakatan pembangkang ini sudah cukup membuktikan desakan yang cuba dilakukan oleh Pas itu hanyalah sekadar retorik dan sandiwara semata-mata. Ini kerana ramai yang melihat kenyataan Tuan Ibrahim itu hanyalah merupakan kenyataan politik yang bertujuan untuk meraih simpati para perwakilan yang bakal mengundi nanti.

Ini kerana, dengan mengambil kira pendekatan kempen Pas selama ini, sekiranya benar parti itu ikhlas ingin memperjuangkan Islam dan Hudud mereka tidak akan bersifat seperti ‘talam dua muka’.

Di depan pengundi Melayu mereka mencanangkan Islam, namun di depan pengundi Cina dan India mereka menggunakan konsep negara berkebajikan. Seolah-olah konsep Islam tidak layak untuk semua kaum. Jadi dimanakah konsep dakwah yang merupakan sebahagian dari Islam?

Sebenarnya isu Hudud ini sengaja dibangkitkan, kerana Tuan Ibrahim sedar parti itu mempunyai terlalu banyak isu yang dijangka akan berbangkit dalam muktamar Pas pada kali ini. Di samping isu pencapaian dalam PRU-13, isu tahalluf siasi, isu syiah, kalimah Allah, pengaruh liberal dalam Pas dan isu memorandum Comango yang tidak diberi perhatian oleh Pas mungkin antara perkara yang akan dibangkitkan.

Ia terkait langsung dengan asas perjuangan Pas untuk memartabatkan Islam. Isu kalimah Allah menyebabkan dalam kalangan kepimpinan utama Pas bercanggah pendirian. Sedangkan isu itu terhubung dengan persoalan akidah. Isu Syiah menyebabkan Pas tidak ambil pendirian yang jelas sedangkan fahaman Syiah bercanggah dengan fahaman Ahlu Sunnah wal jamaah.

Isu perjuangan Comango sangat jelas bercanggah dengan Islam. Isu Hak Asasi Manusia yang bercanggah dengan syariat tidak dibantah oleh Pas. 54 organisasi Comango sangat jelas anti-Islam dan anti Perlembagaan Malaysia. Mengapa Pas membisu? Lujnah Penyelidikan Pas yang diketuai oleh Dr. Zulkifli tidak membantu.

Isu parasit dalam Pas dan pengaruh Anwariyyun memang diketahui umum. Apakah dukungan Anwar terhadap pluralisme agama menyebabkan Datuk Mujahid tertarik dengan fahaman ini dan menyebabkan beliau menulis dalam sebuah buku yang amat liberal sifatnya.

Isu Pas dalam politik Malaysia bukan sekadar isu kerusi dan kuasa tetapi isu ideologi dan sinergi ulama dan professional. Ideologi Pas ingin memartabatkan Islam dalam sistem kenegaraan. Bila Pas bersetuju melunakkan perjuangannya ke arah negara “berkebajikan" ia sudah lari daripada ideologi. Ia adalah suatu kesilapan besar.

Berbalik kepada isu asal, PKR mungkin tidak akan membantah secara terang-terangan bagi mengelakkan masyarakat Melayu dan Islam mengetahui belang sebenar mereka. Namun DAP sudah pasti bakal menentang habis-habisan sebarang cadangan dan gesaan parti itu untuk melaksanakan hudud bukan sahaja di Pulau Pinang namun turut merangkumi di Selangor dan Kelantan.

Kepada para pemimpin Pas, berhentilah dari terus bersandiwara.

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...