Pages

Friday, 15 November 2013

Pertandingan Antara Erdogan dan Ulama atau El-Haraki?

UMUM mengetahui Nik Abduh, anak kepada Datuk Nik Aziz Nik Mat, mempunyai pandangan politik yang agak berlainan daripada bapanya. Namun kini kita juga mengetahui bahawa di lubuk hatinya, Nik Abduh adalah seorang anak yang taat dan hormat kepada bapanya.

Jumaat lalu, Mursyidul Am PAS yang berusia 82 tahun itu tidak sihat dan tidak mampu menyampaikan kuliah pagi Jumaat beliau di Ibu Pejabat PAS di Kota Baru. Beliau meminta Nik Abduh menggantikannya.

Nik Abduh mempunyai amat banyak persamaan dengan bapanya dan beliau adalah orang yang paling tepat untuk tugas itu – beliau kini merupakan ahli Parlimen Pasir Mas, timbalan ketua Dewan Pemuda PAS dan seorang ulama.

Tetapi tugas yang harus dilaksanakan Nik Abduh bukan hanya menggantikan bapanya untuk menyampaikan kuliah – Nik Aziz telah meminta anaknya itu menyampaikan satu “pesanan khusus” yang kini hangat diperkatakan oleh orang PAS di Kelantan.

Bapanya mahu beliau menyampaikan pesan bahawa sesiapa saja, tidak kira ulama atau tidak, boleh bertanding untuk menjadi pemimpin PAS dalam pemilihan parti yang akan diadakan dua minggu lagi.Banyak hadirin dalam kuliah pagi Jumaat itu yang terkejut.

Bulan lalu, Nik Aziz membuat gempar apabila beliau mengatakan bahawa dua jawatan tertinggi dalam PAS perlu dipegang oleh ulama. Beberapa hari kemudian, beliau mengubah pendirian dan mengatakan bahawa dalam diri setiap Muslim ada ulama.

Pendirian yang terkini itu pada asasnya bertujuan untuk meratakan padang permainan untuk kelompok ulama dan bukan-ulama dalam pemilihan parti.

Namun, pembawa pesan yang dipilihnya menunjukkan betapa Nik Aziz adalah seorang ahli politik yang handal. Anak beliau dikenali sebagai seorang ahli politik yang keras dan tergolong dalam kelompok yang percaya bahawa jawatan presiden dan timbalan presiden mesti dipegang oleh ulama.

Nik Abduh diberikan tugas menyampaikan pesanan yang beliau sendiri tidak persetujui. Namun beliau tidak boleh mengengkari bapanya sendiri yang kebetulan pula adalah ketua Majlis Syura, iaitu badan yang paling berkuasa dalam parti.

Pergelutan antara golongan ulama dan bukan-ulama terlihat paling jelas pada persaingan untuk jawatan timbalan presiden antara Mohamad Sabu dan Datuk Nik Amar Nik Abdullah, timbalan Menteri Besar Kelantan. Mohamad, atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu, berada dalam kelompok Erdogan, manakala Nik Amar adalah seorang ulama.

Dewan ulama PAS dianggotai oleh ilmuan Islam, terutamanya graduan Al-Azhar, dan memiliki pandangan politik yang konservatif.

Kelompok Erdogan pula adalah ahli-ahli parti yang mendapat pendidikan sekular dan pandangan politik mereka lebih keduniaan. Banyak di kalangan mereka juga adalah aktivis seperti Mat Sabu. Sebahagian besar ahli utama Erdogan menyertai PAS setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dan mereka meraih pengaruh dalam parti.

Sejak beberapa bulan lalu, kelompok pro-ulama sedang berusaha secara diam di belakang tabir untuk mengukuhkan kedudukan ulama dalam pemilihan parti.

Pemimpin yang dilihat sebagai peneraju kelompok ini adalah ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib, seorang yang bertubuh tinggi, kacak dan berhaluan ultra-konservatif. Beberapa tahun lalu, Harun diserang angin ahmar dan semua orang menyangka kerjaya politik beliau telah tamat. Tetapi bagi para penyokongnya, Tuhan mempunyai rancangan lain untuknya. Beliau kembali kuat dan menjadi wakil utama suara konservatif dalam PAS.

Harun dan kumpulan ulama berusaha memastikan hanya seorang calon ulama akan bersaing merebut jawatan timbalan presiden. Mereka mahu menghindari kesilapan yang dilakukan dalam pemilihan parti tahun 2011 apabila dua daripada tiga calon yang bertanding adalah ulama. Ini menyebabkan undi pro-ulama terpecah dua, membolehkan Mat Sabu menang.

Mat Sabu dilihat sebagai ancaman kepada dasar “kepimpinan ulama”. Ulama takut untuk membayangkan Mat Sabu di suatu masa nanti menjadi presiden PAS.

Golongan ulama mengakui Mat Sabu sebagai aset bagi parti, tetapi lebih sebagai seorang pemidato, penghibur dan penaik semangat. Mereka tidak dapat menerima jika beliau terus memegang jawatan yang akan membolehkannya naik sebagai presiden.

Ulama pada awalnya mahu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding menentang Mat Sabu. Malah, Tuan Ibrahim umumnya dilihat sebagai pemimpin yang berpotensi menjadi presiden PAS.

Beliau adalah seorang ulama dari aliran pemikiran lama yang menganggap cita-cita politik yang berlebihan sebagai sebahagian daripada nafsu. Keinginan untuk merebut kuasa dan jawatan diseertikan dengan keangkuhan, suatu sifat yang ingin diatasi oleh seorang Muslim yang warak. Justeru itu, ulama dari aliran lama biasanya enggan bertanding merebut sesuatu jawatan.Tuan Ibrahim mempunyai senyuman yang manis dan berperwatakan lunak, tetapi di sebalik semua itu beliau adalah seorang yang tegas.

Beliau percaya kalimah “Allah” adalah milik Muslim semata-mata. Beliau menyelar gereja Katolik kerana mengheret isu “Allah” ke mahkamah, menyebutnya sebagai tindakan permusuhan. Beliau juga menyifatkan ketegasan penganut agama Kristian untuk terus menggunakan kalimah “Allah” sebagai tuntutan yang tidak munasabah.

Kerana itulah kelompok ulama mahu beliau memegang jawatan tertinggi. Kata-kata beliau mewakili keinginan mereka.

Tuan Ibrahim telah bertanding merebut jawatan nombor dua dalam PAS pada tahun 2011 kerana Nik Aziz sendiri telah memujuk beliau untuk berbuat demikian. Beliau telah kalah. Lalu, kali ini beliau mensasarkan kedudukan lebih rendah, iaitu kerusi naib presiden.

Natijahnya, Nik Amar kini menjadi pemegang obor-obor bagi kelompok ulama.

Mat Sabu dikatakan merasa lega apabila Tuan Ibrahim menarik diri daripada pertandingan. Beliau tahu peluang beliau malap jika berdepan dengan Tuan Ibrahim dan lebih cerah jika berdepan dengan Nik Amar.

Mat Sabu dikenali di seluruh negara dalam parti PAS, sedangkan Nik Amar lebih dikenali di Kelantan. Nik Amar berasal dari keluarga ulama yang terkemuka, tetapi beliau belum cuba mengembangkan pengaruh di luar negeri yang menjadi kubunya, tidak seperti Mat Sabu yang telah banyak berkorban untuk partinya dan masyhur dari utara sampai selatan tanah air dengan kehebatan berceramah.

Berjaya atau gagalnya Nik Amar bergantung pada sekuat mana keinginan PAS untuk meletakkan ulama di kerusi pengganti bintang besar mereka, iaitu Haji Hadi.

Menurut Mat Sabu, kempen kali ini adalah yang paling buruk sepanjang 35 tahun beliau berada dalam PAS.

Satu kumpulan yang dinamakan El-Haraki dikatakan telah dibentuk oleh ulama-ulama muda dalam PAS dan serangan mereka ditujukan kepada tokoh-tokoh Erdogan dalam PAS, iaitu Datuk Husam Muda, Dr Dzulkefly Ahmad, Khalid Samad, Dr Mujahid Yusof Rawa dan Dr Hatta Ramli.

Tokoh-tokoh Erdogan dicap sebagai parasit dalam PAS. Manakala para penyokong kelompok Erdogan pula telah menuduh dalang-dalang El-Haraki sebagai perkakas Umno, pemecah-belah parti dan penebar fitnah.

Naib presiden PAS yang popular, Salahuddin Ayub, menyebut bahawa kerusi No 2 sentiasa menjadi rebutan sejak kematian presiden yang mereka sayangi, iaitu Datuk Fadzil Mohd Noor.

Sewaktu Fadzil menjadi presiden dulu, timbalannya adalah Hadi. Kedua-dua jawatan itu tidak pernah diganggu-gugat kerana ahli-ahli parti cukup menghormati kedua-dua mereka. Tetapi apabila Hadi naik menjadi presiden, bermulalah perebutan untuk jawatan timbalan presiden.

Sumber dalaman PAS di Selangor menyatakan ulama agak dominan jika diukur pada mood dalam Dewan Pemuda. Ulama muda telah menyapu jawatan dalam dewan itu.

90% daripada pimpinan Dewan Pemuda di Selangor adalah ulama. Di Perak, calon-calon ulama muda berjaya merebut semua jawatan, tinggal jawatan ketua pemuda Perak yang tidak dipegang oleh ulama.

“Tetapi jangan pandang rendah pada Mat Sabu, beliau seorang pejuang,” kata Ketua PAS Cawangan Kota Baru, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah.

Hakikat bahawa parti itu banyak kehilangan sokongan di peringkat akar umbi kepada Umno dalam pilihan raya umum lalu digunakan sebagai bukti bahawa PAS perlu menilai semula pendekatan dan pakatan politiknya. Matlamat jangka panjang parti itu ialah untuk menggantikan Umno sebagai parti induk untuk Muslim dan orang Melayu.

Puak ulama percaya, parti itu perlu kembali ke jalan asal, manakala puak Erdogan pula merasa parti itu perlu berubah untuk meraih sokongan lebih meluas di kalangan pengundi. Dilema ini tidak berbeza daripada pertandingan idea dan pendapat yang berlaku dalam Umno di kalangan kelompok yang merindukan zaman lampau dan kelompok yang mahu bingkas ke depan.

“Ulama atau bukan-ulama, kita semua berada dalam PAS. Seperti suami-isteri yang berkelahi, akhirnya nanti semua tetap tinggal sebumbung,” ujar Wan Rahim.

Tetapi perebutan kuasa antara puak ulama dan Erdogan telah lama berlangsung. Muktamar kali ini akan menentukan siapa bakal memegang pengaruh lebih besar.

JOCELINE TAN
mStar 11 November 2013

1 comment :

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...