Pages

Sunday, 3 November 2013

Pengawal keselamatan disyaki samun kedai emas ditahan di LCCT

Pengawal keselamatan yang disyaki menyamun kedai emas di pusat beli-belah KL Festival City, Setapak, Khamis lepas, ditahan di Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT), Sepang hari ini.

Lelaki rakyat Filipina berusia 27 tahun itu ditahan pada pukul 7 pagi bersama seorang rakannya yang juga rakyat Filipina ketika menunggu penerbangan untuk ke Sabah.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, kedua-dua lelaki yang didapati menggunakan kad pengenalan palsu itu ditahan di sebuah restoran makanan segera di lapangan terbang berkenaan.

"Suspek utama berusia 27 tahun itu mengaku melakukan samun di kedai emas berkenaan. Hasil siasatan lanjut, satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Pandan Jaya.

"Ia membawa kepada penemuan sepucuk pistol Smith and Wesson, lima butir peluru, satu sarung pistol dan beberapa tag harga rantai,” kata Amar Singh ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, suspek utama dan rakannya berusia 28 tahun itu menggunakan kad pengenalan palsu atas identiti dua lelaki Melayu tempatan.

Amar Singh berkata, dengan tangkapan itu, kes samun kedai emas membabitkan seorang pengawal keselamatan kedai itu sendiri dianggap selesai.

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...