Pages

Wednesday, 20 November 2013

PAS TERCICIR 60 TAHUN DI BELAKANG BN LAKSANA ISLAM

Isu pelaksanaan hukum syariah atau hudud nampaknya panas kembali pasca pilihan raya umum. Selama lebih 20 tahun PAS telah menjadikan isu hukum hudud sebagai modal politik pada setiap pilihan raya, sama ada umum atau kecil.

Sekitar awal 1990an Dewan Undangan Negeri Kelantan telah meluluskan enakmen rang undang-undang hukum hudud tetapi ia tidak dilaksanakan. Alasan yang diberi sehingga kini ialah kuasa peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam penggubalan undang-undang mengatasi kuasa negeri. Mana-mana undang-undang yang diluluskan di peringkat negeri terbatal dengan sendirinya jika ia bercanggah dengan kuasa kerajaan pusat.

Inilah yang dijadikan senjata ampuh Pas selama ini untuk menjustifikasikan kegagalannya melaksana serta menguatkuasakan enakmen rang undang-undang hudud. Sekali gus hujah Pas menampakkan kerajaan pusat di bawah Barisan Nasional sebagai anti-Islam dan tidak punyai iltizam untuk menegakkan sebuah negara yang berlandaskan syariat.

Hujah Pas ini sebenar hanya retorik dan penuh dengan pembohongan.

Matlamat UMNO sebagai tulang belakang kerajaan Perikatan/BN yang berterusan memerintah Malaysia sebelum dan selepas Merdeka adalah mempertahankan kedudukan dan kesucian Islam dan hak-hak bangsa Melayu yang berkait rapat dengan agama Islam. Maka selama hampir 60 tahun kerajaan bukan sahaja telah mempertahankan Islam sebagai Agama Persekutuan sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan Negara, tetapi juga memastikan syiar dan ketinggian status Islam menjadi keutamaan agenda kerajaan.

PAS menuduh kerajaan BN mengamalkan sistem sekular bilamana mereka sendiri tidak faham apa pengertian sekularisme sebenarnya. Di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad umpamanya pengupayaan Islam telah ditingkatkan lagi melalui pendekatan "Penerapan Nilai-nilai Islam" di dalam sistem pemerintahan negara.

Sistem pendidikan baru digubal bagi memastikan mata pelajaran Islam dimantapkan disamping pengajaran sejarah Islam. Bank Islam diwujudkan pada 1983 dan sehingga kini banyak lagi bank-bank Islam telah ditubuhkan manakala kebanyakan bank-bank komersial juga telah membangunkan perbankan Islam mereka sendiri.

Malah Malaysia berbangga dengan pengiktirafan dunia sebagai antara negara Islam pertama yang memperkenalkan sistem perbankan Islam yang berjalan seiringan dengan sistem perbankan konvensional.

Kini bukan sahaja perbankan Islam di Malaysia menjadi jauh lebih maju tetapi ia telah menjadi destinasi rujukan bukan sahaja negara-negara Islam tetapi juga dunia Barat.

Begitulah hebatnya pentadbiran BN yang memperkenalkan keindahan dan keunikan sistem Islam itu sendiri daripada perlaksanaan hukum jinayat. UMNO berkali-kali menegaskan ia tidak menentang pelaksanaan hukum hudud di negara ini tetapi apa yang ditolak ialah hukum hudud acuan PAS.

PAS hanya mementingkan rupa dan bentuk iaitu perundangan hukum hudud itu sendiri tetapi gagal memahami aspek manusiawi yang dianggap penting dalam usaha dakwah Islam. PAS gagal mengambil kira unsur kemajmukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Sistem pentadbiran negara juga telah diterapkan dengan nilai-nilai kerja yang selari dengan ajaran Islam. Ini hanyalah sekelumit daripada jasa dan sumbangan agung kerajaan BN terhadap Islam dan bangsa Melayu di negara ini. Ini tidak termasuk pembinaan ratusan sekolah-sekolah berasrama penuh, kolej serta universiti Islam.

Hakikatnya Malaysia telah lama menjadi sebuah negara Islam yang bersikap terbuka dan praktikal bahawa negara ini bukan sahaja kepunyaan orang Melayu tetapi juga kaum-kaum lain.

Sistem pentadbiran Islam di Malaysia sudah diiktiraf dan disanjung oleh dunia Islam dan Barat kerana ia bersikap rasional dan mempunyai elemen al wassatiyyah atau kesedehanaan yang jauh berbeza dengan kefanatikan Pas.

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...