Pages

Friday, 15 November 2013

MARINA YANG KELIRU

Apabila kita merasa diri kita terlalu hebat, maka kita akan secara tidak sedar telah menutup ruang untuk menerima ilmu baru. Apabila ruang untuk menerima ilmu tertutup, apa yang belaku ialah pengetahuan kita menjadi terhad, yakni tidak mampu berkembang. Akibatnya, kita kekal di takuk yang sama dan tidak mampu melihat sesuatu itu secara meluas dan mendalam dari sudut-sudut yang berbeza. 

Inilah yang berlaku kepada Marina Mahathir. 

Marina yang membesar di luar negara dan di kelilingi berbagai bangsa dari berbagai agama, merasakan yang beliau sudah mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai hidup berbanding orang lain yang terikat pada nilai bangsa dan agama masing-masing. Marina percaya bahawa keterbukaan adalah sama dengan kebijaksanaan. Lebih terbuka seseorang, lebih bijak dan lebih baiklah orang itu, mengikut logik fikirannya. 

Oleh kerana itu, Marina memandang tinggi kepada cara hidup barat dan merasa yakin bahawa cara hidup sebegitulah yang terbaik. Sampai ke satu tahap, Marina gagal membezakan baik dan buruk kerana terlalu menyanjung barat. 

Seorang yang bijak pasti tahu bahawa dalam setiap sesuatu di dunia ini, pasti ada baik buruknya. Yang baik mengenai barat adalah ilmu dan tamadunnya (yang mana diwarisi dari tamadun Islam) dan yang buruk mengenai barat ialah kurangnya nilai kekeluargaan dan kemasyarakatan. Walaupun barat kononnya menjuarai hak asasi manusia, tetapi barat juga telah merendahkan nilai diri seorang manusia dengan menerima nilai-nilai kebinatangan yang berkiblat kepada nafsu. 

Malangnya, Marina mengambil semuanya secara borong dengan menganggap semua mengenai barat itu adalah baik dan semua yang tidak kebaratan itu sebagai tidak baik dan mundur. 

Jelas, Marina telah tidak mewarisi walaupun sebesar hama dari kebijaksanaan bapanya. 

Hari ini, Marina berdiri atas platform hak asasi manusia dan hak asasi wanita melalui berbagai-bagai NGO. Antaranya ialah Sisters in Islam (SIS). 

Marina pernah dijemput merasmikan program Seksualiti Merdeka pada tahun 2011 bagi mempromosi seks songsang sebagai hak asasi. Apabila program tersebut dikecam hebat, Marina tampil membelanya dengan menafikan ia sebagai pesta seks tetapi Marina gagal memahami bahawa kecaman tersebut ditujukan kepada perlakuan songsang atau luar tabie yang menyalahi fitrah semulajadi manusia serta bertentangan dengan agama. 

Keterbukaan fikiran Marina nampaknya tidak mampu membantunya mengemukakan hujah balas yang bernas. Perkara yang sama berlaku apabila Marina dikecam oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengenai isu tuntutan COMANGO. 

ISMA baru-baru ini mengedarkan risalah yang memaparkan ‘dalang’ di belakang COMANGO berdasarkan kapasiti beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah SIS yang menjadi sebahagian dari watak utama dalam tuntutan itu. 

Marina bagaimanapun, menafikan yang beliau terlibat dengan COMANGO dan mengugut akan menyaman ISMA. Penafian Marina menyebabkan ramai yang keliru termasuk penyokongnya sendiri. 

Marina telah menyatakan secara terbuka pendiriannya mengenai seks songsang atau LGBT dan Marina juga pernah membuat kenyataan yang menggambarkan beliau menyokong murtad di dalam salah satu tulisan beliau sepertimana petikan berikut: 

“Terdapat kecenderungan banyak pihak untuk mendakwa sesiapa yang berfikiran berbeza dari mereka, lebih dari sebelum ini. Yang anehnya mereka ini lebih minat memberkas dari kalangan sesama akidah. Ianya umpama menyertai sebuah kelab, dan kemudian anda tidak dibenarkan sekali-kali meninggalkannya walaupun anda sudah tidak menyenangi peraturan-peraturannya.”

Dua perkara ini, iaitu LGBT dan murtad, merupakan antara tuntutan COMANGO yang menjadi isu utama yang mengundang kecaman hebat terutama dari ISMA. 

Justeru kita tidak faham kenapa apabila dikecam oleh ISMA, Marina enggan mengaku menyokong atau pun terlibat dengan COMANGO pula. Jika ditafsirkan dengan ringkas, kenyataan Marina bolehlah ditulis seperti berikut: 

“Marina sokong LGBT dan murtad tetapi Marina tak sokong tuntutan COMANGO.” 

Sudah tentulah kenyataan ini bersifat kontra dan tidak masuk akal sama sekali. 

Kini terserlah sudah bahawa Marina adalah seorang manusia yang keliru seperti juga para pengikutnya. Ini terbukti melalui laman-laman sosial para pengikutnya, di mana mereka nampaknya langsung tidak memahami apa yang berlaku sehinggakan apabila isu ISMA vs Marina menjadi hangat, mereka menunjuk sokongan kepada Marina dengan kata-kata pujian kerana tegas menyokong hak LGBT dan murtad. Sedangkan isu di sini ialah Marina menafikan menyokong perkara tersebut melalui COMANGO. 

Berbalik kepada masalah golongan ‘terbuka’ atau lebih bangga dikenali sebagai ‘liberal’ seperti Marina, episod ini mendedahkan bahawa mereka ini tidaklah sehebat mana dan jauh sekali lebih bijak dari Melayu biasa yang kukuh jatidirinya. 

Manusia yang tiada jatidiri, enggan menerima dirinya sendiri dan juga budaya serta adat kaumnya, secara semulajadinya adalah manusia yang keliru. Kekeliruan yang berserta dengan keangkuhan akhirnya membawa kepada kebodohan. 

Semoga Marina belajar sesuatu dari apa yang berlaku iaitu keterbukaan tidak sama dengan kebijaksanaan. Marina perlu belajar merendah diri dan mengakui bahawa kebebasan hidupnya tidak menjadikan beliau lebih hebat dari sesiapa. Malah, ia mungkin membawa kehinaan pada diri sendiri. 

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...