Pages

Thursday, 14 November 2013

Isu Setiausaha Agung Ikhwanul Muslimin: Bukti Tangan Asing Turut Mencaturkan PAS?

Telah dilaporkan bahawa Bridget Welsh iaitu seorang kolumnis Malaysiakini yang kini menjadi Professor di sebuah Universiti di Singapura pernah menghadiri Muktamar PAS ke-55. Bridget Welsh pernah menjadi Professor di Universiti John Hopkins di mana Anwar pernah menjadi penyarah jemputan atas bantuan sahabatnya Al-Gore dan John Wolfowitz. Bridget Welsh juga menjadi Pengarah Malaysia Asia Barometer yang bekerjasama dengan Merdeka Centre untuk menjalankan ‘kajian’ mengenai politik di Malaysia. 

Bridget Welsh disyaki sebagai agen asing berdasarkan latarbelakangnya sebagai konsultan di Freedom House iaitu antara rangkaian NED, yang diterajui CIA. 

Objektif Freedom House adalah untuk mewujudkan dunia yang mengiktiraf kebebasan mutlak dengan mengambil Israel sebagai contoh. Kebebasan ini merangkumi hak LGBT dan juga murtad iaitu dua isu yang menjadi halangan terbesar di negara Islam, termasuk Malaysia. Seperti yang dapat kita lihat hari ini, perjuangan kebebasan Freedom House ini kini dipikul oleh COMANGO yang bertindak mendesak kerajaan di peringkat antarabangsa. 

Justeru, kehadiran Bridget Welsh di Muktamar PAS ke-55 dahulu amatlah mencurigakan. Selepas Muktamar PAS ke-57 Bridget Welsh dilaporkan membuat ulasan positif mengenai kemenangan Mat Sabu sebagai Naib Presiden PAS. Beliau menyifatkannya sebagai kemenangan kumpulan progresif yang akan mengukuhkan Pakatan Rakyat. 

Jelas di sini bahawa PAS telah lama menjadi perhatian pihak asing dan pakatan PAS bersama DAP dan PKR merupakan satu perkembangan yang sangat mengujakan bagi mereka. Kemasukan kumpulan liberal iaitu Anwarinas ke dalam PAS serta kemenangan Mat Sabu yang menjadi balaci DAP dilihat sebagai tanda ‘kemenangan pertama’ bagi mereka. 

Dari sudut lain pula, ia merupakan kekalahan bagi PAS, dan permulaan kemusnahan umat Islam.

Secara dasarnya, isu LGBT dan murtad yang diperjuangkan oleh Freedom House melalui COMANGO hanyalah sebagai ‘alat’ untuk mencetuskan ketidakstabilan di dalam negara Islam di mana ia dijadikan alasan untuk menentang kerajaan dan memberontak. Manakala, matlamat utama adalah untuk menjatuhkan kerajaan agar dapat digantikan dengan seorang pemimpin boneka bagi membolehkan pihak asing menguasai ekonomi dunia. 

Berdasarkan rekod, adalah lebih mudah untuk menjatuhkan sesebuah negara Islam dengan menggunakan Islam sendiri. Untuk itu, pihak asing menubuhkan pertubuhan yang menggunapakai nama Islam atau menyusup masuk ke pertubuhan Islam sedia ada bagi mencetuskan kekeliruan, ketegangan dan persengketaan sesama umat Islam dan juga terhadap kerajaan mereka. Malang sekali kerana Ikhwanul Muslimin juga tidak terkecuali dari menjadi permainan mereka. 

Ini terbukti melalui penglibatan salah seorang ‘orang kuat’ Ikhwanul Muslimin, iaitu Youseff Nada, di mana beliau merupakan antara pencetus Arab Spring. Youseff Nada turut mempunyai hubungan rapat dengan Anwar Ibrahim dan dianggap oleh bekas banduan dan juga bekas Timbalan Perdana Menteri itu, sebagai rakan keluarga. Seperti juga Anwar, Youseff turut duduk atau terlibat bersama dalam rangkaian NED melalui IIIT, King Farouk Foundation dan Foundation for the Future. 

Bagaimanapun, Malaysia tidak mempunyai pergerakan Ikhwanul Muslimin untuk dipergunakan sebagai pencetus pemberontakan terhadap kerajaan. Percubaan memberontak melalui kumpulan liberal pula nampaknya sukar dilakukan kerana kumpulan ini merupakan minoriti. Walaupun percubaan terus dilakukan melalui COMANGO, namun ia dijangka tidak mampu membawa kesan besar. 

Justeru, tidak hairanlah apabila nama Hadi Awang tiba-tiba dikaitkan dengan Ikhwanul Muslimin di peringkat tertinggi di mana beliau dikatakan dilantik sebagai Setiausaha Agung pergerakan itu. Berita ini disiarkan oleh akhbar Al-Wathan di Mesir.

Jika sebelum ini Hadi atau PAS cukup bangga jika dikaitkan dengan sebarang pergerakan Islam di luar negara, tetapi kali ini Hadi nampaknya pantas menepis dan menafikan sekeras-kerasnya laporan tersebut. Malah, Hadi juga katanya sedang berkira-kira untuk menyaman akhbar terbabit. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa respon Hadi Awang menggambarkan yang beliau berada dalam keadaan bimbang dan takut. 

Persoalannya, kenapa harus ada khabar angin sebegitu? Siapa yang meniupkannya atau kenapa ia bertiup dikala Muktamar hampir tiba? 

Hadi Awang dan PAS secara keseluruhannya wajar melihat perkara ini dengan lebih mendalam. Tanyalah pada diri sendiri, siapakah yang mencaturkan PAS? Apakah hanya Anwarinas yang cuba mencaturkan PAS dari dalam? Atau hanya DAP yang cuba mengarah-arah PAS dari luar? Atau ada lagi tangan lain yang lebih besar yang cuba memperalatkan parti itu? 

Penulis melihat apa yang berlaku sebagai strategi pihak asing untuk menggambarkan kewujudan rangkaian pergerakan Islam di negara ini yang berpotensi memberontak pada suatu hari nanti. Memandangkan Malaysia mengamalkan kesederhanaan di mana personaliti atau kumpulan yang ekstrem sukar untuk dicari, maka nama Hadi Awang dan parti PAS diketengahkan sebagai pihak yang berpotensi itu. 

Umat Islam di Malaysia harus berjaga-jaga dan sentiasa peka dengan apa jua maklumat yang diterima akhir-akhir ini. Nampaknya, asakan pihak asing untuk mencetuskan ketidakstabilan dan menggugat keharmonian negara serta kedudukan agama Islam, semakin menjadi-jadi. 

Muktamar PAS yang bakal menjelang dijadikan ‘tingkap’ bagi mereka untuk mengintai dan mengatur apa yang boleh, untuk tujuan itu. Semua ini boleh dilakukan kerana PAS memberi peluang kepada mereka untuk masuk ke dalam, duduk bersama malah bergandingan tangan serta berpelukan mesra demi untuk merampas Putrajaya. 

Sudah tiba masanya PAS sedar dengan siapa mereka berpakat, dan siapa atau apa yang mereka jemput untuk duduk bersama mereka. Kita pasti, Hadi Awang dan segelintir pemimpin PAS yang bijak, telah sedikit demi sedikit semakin menyedarinya. 

Soalnya, sampai bila mereka akan terus bersekongkol dengan syaitan semata-mata kerana ego, enggan mengaku tersilap di hadapan UMNO? Atau apakah PAS sebenarnya telah membuat perjanjian besar dengan syaitan dan tidak dapat melepaskan diri lagi?

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...