Pages

Sunday, 10 November 2013

HARGA GULA JUGA ADALAH KETETAPAN ALLAH

Islam didasari dengan prinsip kekuasaan tertinggi hanya milik Allah. Pemilik mutlak alam semesta. Manusia yang telah dicipta dalam bentuk paling sempurna sebagai khalifah yang memakmurkan bumi. Mereka (manusia) bukanlah pemilik sebenar. Bukan juga penentu bagi yang dimiliki Allah. Semua yang dimiliki dan diperolehi manusia adalah rahmat dari Allah semata-mata.

Kebebasan dalam pasaran

Komoditi dan harga tidak dapat diasingkan dari aktiviti pasaran semenjak sebelum kedatangan Islam lagi. Islam menerima peraturan sosial itu. Segala kelemahan atau kekurangan yang wujud di dalamnya dipinda serta ditutupi dengan pensyariatan yang baginda Nabi saw sampaikan; menyempurna kehendak syari’ah sistem ekonomi Islam.

Hadith ‘harga adalah ketetapan Allah’ (riwayat Abu Dawud)  tidak memberitahu kita keadaan pasaran Madinah apabila berlakunya kenaikan harga. Samada ia berlaku disebabkan barangan itu diimpot ke Madinah atau kenaikan harga berlaku kerana penyimpanan stok barangan bagi mengawal pasaran bertujuan meraut keuntungan berlipat-ganda. Namun, walau dalam dua situasi tersebut, Nabi tidak respon terhadap tuntutan tersebut. Hakikatnya kenaikan harga barang bukan perkara baru dan pernah dialami oleh Nabi saw.

Antara dua perkara yang dapat difahami melalui hadith tersebut; pertama, Nabi saw tidak tunduk kepada tuntutan untuk menentukan harga pasaran membawa maksud pembeli boleh mempengaruhi pasaran tetapi tiada kuasa penentu ke atas harga jualan. Kedua, Nabi saw memberi gambaran tuntutan itu sebagai tindakan tidak adil kerana ia menghadkan keuntungan penjual. Barang dagangan yang hendak ditentukan harga itu termasuk beban kos yang ditanggung oleh penjual. Kebebasan penjual dalam pasaran ialah haknya dalam menentukan keuntungan bagi setiap dagangan yang dibuat .

Dalam riwayat lain, sabda Nabi saw mengesyorkan keutamaan penjual menentukan harga ke atas barang dagangan mereka. 
Dari Musa bin Ismail menyampaikan kepada kami dari Abdul Warits dari Abu at-Tayyah dari Anas bahwa Rasullullah saw bersabda maksudnya, "Wahai Bani Najjar! Tentukanlah harga kebun kalian untukku". Di kebun itu ada reruntuhan bangunan dan pohon kurma. (riwayat Al-Bukhari)

Garam, rempah masala dan ubat sinseh tiada subsidi.

Apabila berlaku kemelesetan ekonomi secara global, kesan inflasi turut dirasai di dalam negara. Kesannya bukan saja menyulitkan golongan urban atau luar bandar yang kurang daya ekonominya tetapi juga golongan pertengahan. Ia memberi impak ke atas perbelanjaan konsumer, juga kepada pengeluar kerana penurunan permintaan barangan mempengaruhi keuntungan pengeluar. 

Negara juga tak terlepas dari krisis inflasi apabila berlaku kemelesetan ekonomi dunia. Sebagai usaha awal mengawal masalah kenaikan harga barang, kerajaan mengambil langkah mengawal import barangan dan menstabilkan harga barang dengan pembiayaan subsidi. Harga barangan keperluan bersubsidi termasuk gula, tepung, minyak masak, minyak petroleum dan lain-lain barang. Tetapi tidak semua barangan keperluan seperti garam, rempah masala atau pun ubat sinseh bersubsidi. Mungkin kerajaan melihat bahwa konsumer peka akan kesan mengambil garam secara lebihan berbanding kesan dari pengambilan gula. 

Intervensi  kerajaan menghadkan pengimpot barangan seperti gula berupaya mengurus penyediaan bekalan dalam pasaran manakala harga barang pula dapat ditetapkan dengan pengimpot melalui perjanjian jangka panjang(LTC). Langkah menghad pengimpot-pengimpot gula dapat mengelak dari berlakunya monopoli pasaran yang boleh mengakibatkan kenaikan harga yang tak terkawal. Ia juga menjamin bekalan barang ke dalam pasaran yang lebih terurus. Jika impot barangan keperluan dibiar tanpa kawalan, akan berlaku persaingan yang akhirnya pengimpot yang berkemampuan dengan jumlah impot yang lebih besar akan berupaya memanupulasi pasaran seterusnya harga barangan. 

Sebagai syarat menjadi pengimpot utama, pengimpot gula misalnya, kerajaan telah menetapkan harga siling jualan. Dengan kata lain, keuntungan pengimpot telah dihadkan melalui tambatan harga pada kontrak yang ditawarkan kerajaan. Hasilnya kerajaan berupaya menstabilkan harga barangan untuk jangka masa panjang disamping jaminan penyediaan bekalan oleh pengimpot. Tambatan harga dengan jaminan kontrak juga bukan perkara baru. Sebagai contoh, harga pembelian rumah dipelihara melalui kontrak jual beli antara pembeli dan pemaju. Jika berlaku sebarang kenaikan harga barang binaan maka pembeli akan terlepas dari tanggungan kerugian yang mungkin berlaku.

Seperkara yang perlu diketahui, subsidi juga diberi dalam bentuk subsidi pertanian termasuk baja dan sebagainya. Maka bolehlah dikatakan banyak barangan dalam negara yang berasaskan pemberian subsidi. Ini adalah antara langkah atau insentif yang diambil bagi kerajaan menstabil pasaran serta memenuhi keperluan konsumer.

Subsidi pukal menguntungkan Golongan Berkemampuan.
Langkah kerajaan menstabil harga barangan melalui bantuan subsidi bertentangan dengan ajakan meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya. Bantuan subsidi diambil dari kutipan pendapatan negara termasuk antaranya hasil kutipan cukai dari rakyat. Bantuan subsidi secara pukal yang diberikan kerajaan bukan sahaja dinikmati oleh yang berhak tetapi juga oleh yang berkemampuan. 

Berlaku ketirisan dalam pemberian subsidi. Skim subsidi bertujuan membantu golongan yang berpendapatan rendah memenuhi keperluan hidup mereka. Apa yang berlaku sebaliknya, subsidi yang diberi secara pukal turut dinikmati oleh golongan berada dan berkemampuan. Subsidi secara pukal tidak  mencapai matlamat sebenar. Dalam kata mudah, golongan yang susah membiaya kehendak golongan yang berkemampuan.

Subsidi bertujuan memenuhi keperluan bukan kehendak. Memenuhi keperluan asas menjadi keutamaan kerajaan tetapi bukan disalahguna memenuhi kehendak golongan berkemampuan. Jika subsidi pukal untuk kebaikan semua, pasti Nabi saw akan memberi nya bagi menampung kenaikan harga barang di Madinah, jika itu adalah yang terbaik.

Telah sekian lama kerajaan berkempen menyeru rakyat agar berjimat cermat, mengenakan denda jika didapati membiakkan jentik-jentik, menyaman pemandu yang memandu melebihi had laju jalan malah menghadkan kawasan merokok. Kempen yang jelas bermanfaat ini juga turut ditolak sebilangan rakyat. Maka tidak menghairankan dalam kes gula dan diabetes.

Kata Abdul Malik bin Marwan; “Wahai rakyatku! Bersikap adil lah kepada kami! (Bagaimana mungkin) kamu mahukan dari diri kami sebagaimana yang dilaksanakan oleh Abu Bakar dan Umar, sedangkan kamu tidak pun mengerjakan sebagaimana apa yang mereka amalkan?”

disediakan oleh

Research Team iLMU (RETI) dalam menjawab artikel saudara Danial pelajar Doktor Falsafah Ekonomi dari UKM dan disiarkan di Harakah dan malaysiakini.

diedit oleh Jabatan Penerbitan iLMU

#cukai #iLMU #UstazFathulBari #Subsidi #IsuSemasa #HarakahDaily #Malaysiakini #Gula #Diabetes #GST

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...