Pages

Saturday, 23 November 2013

Ambiga, Perlu Desak Badan Peguam Bersihkan Senarai Pengundi Hantu


Masyarakat sebelum ini sering dikejutkan dengan tindakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang menganjurkan pelbagai siri demonstrasi jalanan bagi mendesak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) untuk membersihkan daftar pemilih yang kononnya dipenuhi dengan banyak nama pemilih yang diragui.

Namun di dalam kesibukan mendesak, mengkritik malah pernah mencabar SPR Ambiga yang juga merupakan bekas Presiden Majlis Peguam jelas terlupa melihat masalah dalaman yang melanda badan yang ditubuhkan di bawah Ordinan Peguam Bela dan Peguam Cara 1947 itu.

Baru-baru ini, bertempat di salah sebuah hotel di ibu kota satu sidang akhbar khas telah diadakan oleh Khairul Azam mengenai pelanggaran hak asasi oleh Majlis Peguam berhubung hak ahli dalam pemilihan Jawatankuasa Majlis Peguam baru-baru ini.

Azam melalui kenyataan penuhnya mengatakan antara perlanggaran hak dan prinsip yang dilakukan badan itu ialah tiada rekod atau daftar bahawa kertas undi pos telah dihantar kepada semua 15,331 orang ahli Bar Malaysia. Malah beliau turut merasakan wujud pengundi hantu yang mengundi kerana tiada penggunaan dakwat kekal yang mengesahkan siapa yang telah memangkah kertas undi tersebut

“Mungkin kertas undi di pangkah oleh peguam dan mungkin juga kerani pejabat peguam yang yang memangkah kertas tersebut.

“Adalah melucukan, apabila Pemilihan Bar Council masih menggunakan kaedah undi pos sedangkan kaedah tersebut amat dikritik lantang oleh Bersih yang diketuai oleh bekas Presiden Malaysian Bar yang pada ketika itu turut menang hasil dari sistem undi pos semasa pemilihan Bar Council” katanya.

Menurut Azam lagi sekiranya dirujuk kepada statistik di laman web www.malaysianbar.orgterdapat seramai 15,331 orang peguam berdaftar dan ia termasuklah nama ahli-ahli yang telah meninggal dunia dan mereka yang tidak lagi meneruskan karier sebagai peguam. Malah statistik juga menunjukkan angka kertas undi yang di pos kepada ahli kerap tidak konsisten dengan jumlah ahli.

Beliau juga turut menegaskan kertas undi yang dihantar kepada ahli secara pos boleh ditandakan oleh sesiapa sahaja termasuklah kerani, pembancuh kopi malah budak pejabat kerana tiada satu pun sistem yang digunakan dapat mengesahkan hanya peguam yang berdaftar sahaja boleh mengundi. Atau dalam bahasa mudah, ia secara tidak langsung telah membuka ruang dan peluang kepada kewujudan pengundi hantu.

Bersih yang diketuai oleh Ambiga Sreenevasan itu sebelum ini begitu lantang mendesak, mengkritik malah pernah mencabar SPR untuk mengendalikan pilihan raya umum yang disifatkan sebagai berat sebelah, tidak adil dan sebagainya.

Antara tuntutan mereka ialah membersihkan senarai pemilih termasuk membuang nama-nama mereka yang tidak dapat dikesan, sudah meninggal atau diragui kesahihannya. Selain dari itu Bersih juga turut mendesak agar SPR mereformasikan undi pos yang disifatkan sebagai lapuk dan ketinggalan zaman termasuklah menggunakan sistem dakwat kekal bagi mengelak orang yang sama mengundi buat kali yang kedua.

Kesimpulannya ialah inilah yang dinamakan ‘kuman di seberang laut nampak, namun gajah di pelupuk mata tak nampak’. Mereka mendakwa SPR dengan pelbagai tuduhan namun di masa yang sama, Majlis Peguam masih mengunapakai kaedah dan cara yang dikritik itu.

Tambah menghairankan, sejurus selepas Barisan Nasional berjaya mengekalkan kemenangannya dalam pilihan raya umum ke-13 yang lalu, Ambiga seolah-olah senyap sepi. Malah ketika DAP berdepan dengan masalah pemilihan CEC yang dipertikaikan oleh ahli parti itu sendiri, Ambiga tetap membisu.

Jelaslah semua yang dilakukan sebelum ini hanyalah retorik politik semata-mata bagi mewujudkan persepsi buruk rakyat agar menolak Barisan Nasional (BN) sekali gus menjadi tali-barut dan lembu tunggangan kepada pakatan pembangkang.

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...