Pages

Wednesday, 13 November 2013

Ada suspek Lain Terlibat Culik Freddie

Polis hari ini tidak menolak kemungkinan terdapat individu lain terlibat dalam kes penculikan kanak-kanak Britain, Freddie Joseph di Bangsar, di sini pada 8 November.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata pihaknya telah menyoal siasat bekas pembantu rumah yang pernah berkhidmat dengan keluarga kanak-kanak itu dan teman lelakinya sejurus penahanan mereka pada 10 November, tetapi ia tidak membawa sebarang petunjuk positif.

"Jadi kami syak ada lagi suspek terlibat. Harap maklumat tentangnya boleh diperoleh menerusi rakaman percakapan dengan ibu mangsa sedikit masa lagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Joseph, setahun lapan bulan, diculik seorang lelaki dan wanita di rumahnya di Bangsar, ketika ibunya masuk ke dalam rumah selepas memberi anaknya itu makan di halaman rumah mereka.

Kanak-kanak itu dijumpai oleh orang awam di Taman Tasik Titiwangsa di sini, 18 jam selepas diculik.

Mohmad berkata ibu kanak-kanak itu yang masih dalam keadaan trauma diharap dapat memberi gambaran sebenar kejadian itu supaya memudahkan polis membuat siasatan.

"Kami harap sewaktu percakapan dirakam dia beri kerjasama yang baik," katanya.

BERNAMA

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...