Pages

Sunday, 27 October 2013

YOUTUBE MAHU KENA BAYARAN LANGGANAN MUZIK

Laman perkongsian video milik Google, YouTube bersiap sedia melancarkan perkhidmatan langganan muzik untuk membolehkan pengguna menonton video dan mendengar muzik tanpa gangguan iklan, kata sumber industri kelmarin.
Beberapa sumber memberitahu agensi berita AFP bahawa perkhidmatan tersebut akan dilancarkan tahun depan.
Pelan baharu itu masih mengekalkan akses percuma untuk sebahagian besar klip video dan muzik di YouTube tetapi menambah perkhidmatan berbayar tanpa iklan.
Perkhidmatan tersebut turut menawarkan beberapa ciri istimewa termasuk mendengar album penuh dan menyimpan muzik secara luar talian.
"Kami sentiasa mencari cara baharu dan lebih baik untuk pengguna menikmati kandungan YouTube di semua skrin selain memberi lebih peluang kepada rakan niaga kami untuk mencapai pelanggan mereka," kata seorang jurucakap YouTube.
Namun, langkah tersebut turut dilihat oleh beberapa penganalisis sebagai kaedah terbaharu YouTube untuk meraih lebih banyak pendapatan.
Enjin carian internet, Google membeli laman web berkenaan pada tahun 2006 dengan bayaran AS$1.65 bilion (RM5.1 bilion).
Setakat ini, YouTube dilaporkan memperoleh pendapatan sederhana hasil pengiklanan di laman perkongsian video tersebut.
Terdahulu, majalah Billboard dan akhbar New York Times melaporkan langganan premium untuk perkhidmatan tersebut berharga sekitar AS$10 (RM31) sebulan.
Perkhidmatan tersebut membolehkan syarikat rakaman mendapat royalti lebih besar daripada yang diperoleh menerusi akses percuma. - AFP

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...