Pages

Thursday, 31 October 2013

TEMBAK PEGAWAI BANK : KAWALAN PRIMA SDN BHD DIHARAMKAN

Semua operasi syarikat penyedia pengawal keselamatan yang menembak mati seorang pegawai bank dalam satu rompakan minggu lalu, diharamkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata syarikat kawalan keselamatan iaitu Kawalan Prima Sdn Bhd, boleh didakwa di mahkamah sekiranya mereka masih menjalankan perkhidmatan kawalan keselamatan berkenaan.

“Pagi tadi (Khamis), setiausaha jabatan keselamatan dan ketenteraman awam telah pergi ke ibu pejabat firma berkenaan dan cawangannya bagi memastikan tiada lagi operasi dijalankan oleh pihak mereka.

“Pihak kementerian mengklasifikasikan sebarang operasi yang dijalankan syarikat itu sebagai haram dan akan mendakwa mereka di mahkamah sekiranya mereka tidak mengendahkan arahan berkenaan,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Khamis.

Ahnad Zahid turut mengesahkan senjata yang digunakan oleh pengawal keselamatan tersebut telah dirampas oleh pihak kementerian dan kenyataan bertulis serta pemberitahuan rasmi akan dimaklumkan kepada pelanggan firma berkenaan.
“Mereka akan dimaklumkan mengenai perkara ini, dan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya mereka meneruskan perkhidmatan syarikat kawalan keselamatan tersebut,” katanya.

Beliau menambah, syarikat kawalan keselamatan berkenaan telah tiga kali melanggar undang-undang kerana mengambil pekerja warga asing sebagai pengawal keselamatan dengan beberapa orang daripadanya memiliki rekod jenayah.
Dalam kejadian 22 Oktober lalu, seorang pengawal keselamatan menembak mati pegawai Ambank iaitu Norazita Abu Talib, 37,  ketika merompak cawangan bank berkenaan dalam kejadian di Jalan USJ 2, Subang Jaya, Selangor.
Pengawal keselamatan itu yang sebenarnya bertugas di bank lain, hadir bertugas di Ambank cawangan tersebut bagi menggantikan orang lain yang tidak datang bekerja. – Mstar.

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...