Pages

Monday, 28 October 2013

PAS KEDAH MENGAKU GAMBAR CALON PAS BERSAMA USTAZ AZIZAN ADALAH PALSU!

PAS Kedah hari ini mengaku satu daripada gambar kempen calonnya merupakan gambar palsu dan mereka sedang menyiasat bagaimana perkara itu boleh berlaku.

"Pihak kami tidak tahu bahawa gambar tersebut bukan asli dan Pas langsung tidak ada niat untuk mengadakan sesuatu yang tidak ada," kata Pengarah Operasi Pas bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Datuk Amiruddin Hamzah dalam sidang media di sini.

Beliau mengulas penyebaran risalah kempen yang memaparkan gambar calon Pas, Mohd. Azam Abd. Samat bertemu dengan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak di pejabatnya ketika Azizan menjadi Menteri Besar Kedah.

Namun, akhbar Sinar Harian mendedahkan gambar itu sebenarnya gambar kunjungan mesra dua pemberita kanannya ke atas Allahyarham pada 25 Mei 2011 dan telah diubah suai menerusi teknik 'Photoshop' bagi menampal wajah Mohd. Azam pada wajah seorang daripada pemberita mereka.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, pihaknya akan meminta penjelasan daripada pereka grafik yang menghasilkan bahan kempen berkenaan.

Beliau juga mengaku lazimnya sebelum bahan kempen dicetak, pereka grafik akan menyerahkan contoh profil kepada mereka untuk diedit dan ditambah baik sebelum diserah semula bagi tujuan pencetakan.

Katanya, Pas Kedah akan menarik balik risalah berkenaan dan mengeluarkan profil baharu dalam masa terdekat.

Ditanya sama ada isu itu akan menjejaskan kempen PAS, Amiruddin yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah, berkata:

"Kita semua manusia biasa... yang bezanya ialah sama ada kita memang berniat untuk menipu atau terjadi di luar pengetahuan kita."

Sinar Harian dalam laporan muka depannya hari ini menyifatkan risalah yang mengandungi foto wartawan akhbar tersebut sebagai taktik 'desperado' untuk mengelirukan pengundi pada PRK DUN Sungai Limau.

Laporan itu juga menyatakan Sinar Harian berasa terpanggil untuk menjelaskan mengenai foto terbabit bagi mengelakkan salah faham atau tanggapan bahawa akhbar berkenaan memihak kepada mana-mana parti politik.

Sementara itu, Ketua Biro Edisi Utara Sinar Harian, Mohd. Idros Mohd. Ali yang merupakan seorang daripada dua pemberita kanan di dalam gambar tersebut berkata, adalah penting bagi akhbar berkenaan menjaga kredibilitinya sebagai media yang tidak menyebelahi mana-mana pihak.

"Kita nak mengekalkan kredibiliti akhbar yang sentiasa dijaga sebelum ini.

Gambar ini seolah-olah memberi satu gambaran bahawa kita menyebelahi satu pihak sahaja," katanya kepada Bernama.

Katanya, Sinar Harian menyerahkan kepada pembaca untuk menilai kenyataan yang dibuat oleh PAS hari ini.

PRK DUN Sungai Limau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd. Azam dan calon Barisan Nasional, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim.

BERNAMA

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...