Pages

Thursday, 17 October 2013

LIBERALISME ATAU MAIN-MAIN?

Sejak kebelakangan ini, pelbagai pihak menyebut perkataan liberal sebagai satu wadah untuk menggambarkan pro dan kontra kepada sesuatu khususnya melabelkan individu dan parti politik bagi tujuan-tujuan tertentu.

Ada yang menganggap “liberalisme” adalah falsafah yang mampu membawa manusia kepada kemajuan sejagat. Liberalisme yang difahami didakwa sebagai satu bentuk pembebasan dan kemerdekaan yang bakal memungkin manusia mencapai kejayaan. Dalam erti kata lain, hubungan liberalisme dengan kemajuan manusia adalah sinonim.
Dalam aspek yang lain, kefahaman sebenar kepada istilah “liberal” itu sendiri masih kabur dan samar-samar.

PENULIS terpanggil untuk mengulas satu artikel yang di tulis oleh Kolumnis Mstar, Wan Saiful Wan Jan bertajuk “Memahami Liberalisme. Telah berulang kali PENULIS membaca dan memahaminya tetapi malang sekali daya pemikiran seorang Ketua Eksekutif IDEAS tersebut agak mengecewakan.

PENULIS akui Wan Saiful Wan Jan adalah penulis yang baik, malah ciri-ciri “idealis” Wan Saiful cuba tunjukkan begitu menyerlah apabila cuba mengaburkan lagi konsep “liberalisme” ke arah pemikiran yang lebih cetek. PENULIS beranggapan hasil tulisan Wan Saiful adalah satu cubaan untuk mempengaruhi pembaca bahawa “liberalisme” adalah satu ideologi dan fahaman yang wajar diamalkan dan berbentuk objektif semata-mata.

Wan Saiful menulis, “Perkataan ‘liberal’ telah banyak disalah ertikan sehingga maksudnya kini tidak begitu jelas.
Di Malaysia pula ada pihak yang cuba mengatakan bahawa Pakatan Rakyat adalah liberal. Kedua-dua ini salah dan tidak melambangkan fahaman liberalisme yang klasik”
Sejak konsep “liberalisme” ini muncul semasa meletusnya Revolusi Perancis pada tahun 1789 hingga ke hari ini, istilah ini mempunyai kaitan dengan konsep manusia merdeka dan kebebasan yang membawa prinsip rasional, keterbukaan dan kebebasan intelektual serta kesamarataan. Waima apa tujuan sekalipun, kebebasan dan merdeka menjadi intipati kepada konsep “liberalisme” walaupun konsep “kedaulatan undang-undang” menjadi prinsip utama falsafah “liberal”.

Seperkara lagi yang disebut di dalam konsep “liberalisme” adalah “kerajaan terhad “ yang meletakkan perlembagaan sebagai satu kaedah mewujudkan mekanisme “check and balance”.

Daripada aspek Islam, fahaman dan ideologi ini dianggap merbahaya. Konsep liberal yang berhubungkait dengan kebebasan memilih agama dan mengamalkan prinsip rasional seseorang. Norma-norma agama akan terus terhapus dan menganggu-gugat institusi kekeluargaan.
Kefahaman ini sengaja diada-adakan bagi menghalalkan apa yang dilakukan. “Matlamat menghalakan cara”menjadi titik tolak kepada fahaman ini umpama mengandaikan “minyak dan air” tidak boleh bercampur dan begitu juga dosa dan pahala. Orang berzina tidak boleh dihukum kerana ia dilakukan atas dasar suka sama suka, manakala bersekududukan tidak menyalahi peraturan sampai bila-bila dan perkahwinan sejenis dibenarkan bagi menghayati prinsip kebebasan dan merdeka.

PENULIS tidak dapat melihat bagaimana “kedaulatan undang-undang” menjadi semak dan imbang kepada konsep liberalisme ini apabila undang-undang itu sendiri dicabar daripada segenap aspek. Jika dilihat kepada pelanggaran undang-undang, seseorang itu akan terus dibela untuk “membersihkan diri” sehingga mengenepikan tuduhan asal melalui alasan teknikal. Inilah namanya kebebasan yang menafikan kebebasan orang lain.

Lebih parah apabila konsep ini turut berkembang dalam pemikiran umat Islam hingga seorang wanita, Aminah Wadud telah mengimamkan solat Jumaat satu ketika dahulu. Lihatlah, bagaimana liberalisme meresap di dalam pejuang feminis terhadap prinsip kesamarataan dan mengenepikan hukum hakam agama Islam itu sendiri.

PENULIS sama sesekali tidak bersetuju dengan apa yang ditulis oleh Wan Saiful Wan Jan itu. Walaupun setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza namun aspek agama tidak harus diketepikan bagi menghalalkan apa yang kita kata.
Diakhir artikel Wan Saiful menulis, “Jadi, jika ada pihak yang membuat pelbagai tuduhan mengenai liberalisme selepas ini, saya mohon agar para pembaca menilai dahulu adakah mereka itu tahu apa yang mereka cakapkan atau hanya bersifat bodoh sombong sahaja.”

PENULIS memberi ruang kepada pembaca, kepada siapakah yang harus menelan kata-kata tersebut.

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...