Pages

Friday, 25 October 2013

Kasih Sampai Hujung Nyawa : Abang Sayang Saya Tak? Pertanyaan Terakhir Pegawai Bank Yang Ditembak

Isteri telefon suami sejam sebelum ditembak jaga

Serdang: “Abang sayang saya tak?,” itulah pertanyaan terakhir Norazita Abu Talib, 37, ketika menghubungi suaminya, Irwan Kamaruddin, 37, sejam sebelum mati ditembak pengawal keselamatan di sebuah bank di Subang Jaya, petang kelmarin.

Irwan tidak membalas pertanyaan isterinya dan hanya memaklumkan sedang sibuk bekerja sebelum menamatkan panggilan telefon. 

“Bagaimanapun, kira-kira sejam kemudian, saya mula bimbang sebaik dimaklumkan kawan sekerja mengatakan ada kejadian tembak di tempat Norazita bekerja, lalu menghubungi isteri untuk mendapatkan pengesahan. 

“Panggilan saya hanya dijawab majikan tempat Norazita bekerja dan beliau meminta supaya saya datang ke sana dengan segera tanpa memberitahu apa yang berlaku.

“Sebaik tiba di bank itu, saya menggigil dan hampir pengsan melihat keadaan isteri terbaring kaku tidak bernyawa dan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Serdang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.15 petang itu, Norazita yang bertugas sebagai pegawai operasi cawangan AmBank di Subang Jaya maut ditembak dari jarak dekat oleh pengawal keselamatan premis berkenaan.

Tak tunjuk perubahan

Mangsa terkulai di depan pintu bilik kebal bank berkenaan selepas terkena tembakan Pump Gun digunakan suspek. Sebelum kejadian, mangsa bersama tiga petugas wanita bank itu diiringi suspek berusia 37 tahun, membuka pintu bilik kebal untuk menyimpan sejumlah wang tunai.

Irwan berkata, isterinya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika keluar pergi kerja dan tidak menyangka pengawal keselamatan itu sanggup membunuh isterinya hanya disebabkan wang.

Bagaimanapun, katanya, beliau kecewa kerana gambar ngeri isterinya terbaring ditembak selain video kejadian itu dimuat naik dalam laman sosial secara meluas tanpa memikirkan sensitiviti keluarganya.

“Saya minta masyarakat dalam memadam semula video dan gambar berkenaan. Ini bukan cerita gembira, sebaliknya menyedihkan kami sekeluarga bila gambar sedih itu menjadi tatapan semua terutama dua anak saya Nurnisa Nabila, 12, dan Muhd Hazimi, 8,” katanya yang jenazah isterinya dikebumikan di Kampung Air Hitam Labu, Kampar, Perak.

Anak sulung mangsa, Nurnisa Nabila, berkata selalunya setiap pagi, ibunya akan menghantar ke sekolah, namun pada hari kejadian, beliau pertama kali dihantar oleh bapanya selepas ibu memaklumkan perlu cepat sampai ke hospital.

“Kali terakhir saya dapat jumpa ibu jam 7.15 pagi sebelum keluar ke sekolah. Saya sempat salam tangan ibu dan sedih bila dimaklumkan ibu sudah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Ibu seorang yang garang dan tegas, namun saya sangat rapat dengan ibu,” katanya.

Suspek masih diburu

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua, ketika dihubungi berkata, sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan pihaknya giat memburu suspek dipercayai masih bersembunyi di sekitar Lembah Klang.

Katanya, pihaknya sudah mengambil keterangan beberapa individu dan satu sidang media berhubung perkembangan kes berkenaan akan dibuat hari ini.

Sementara itu, AmBank Group dalam satu kenyataan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan Norazita seorang pekerja cemerlang dan dedikasi.

Katanya, pihak AmBank bekerjasama rapat dengan polis dalam membantu siasatan kes berkenaan dan kakitangannya akan menghadiri majlis pengebumian arwah.

Berita Harian

1 comment :

  1. Al-Fatihah untuk beliau dan Takziah pada keluarga beliau ...
    sedih sangat bila kejadian macam ni terjadi .

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...