Pages

Sunday, 20 October 2013

Dalang Penceroboh Lahad Datu Meninggal Dunia! Waris Mahu Tuntut Sabah!

Lelaki yang mendakwa dirinya Sultan Sulu, Jamalul Kiram III meninggal dunia akibat kegagalan organ awal pagi tadi, kata isterinya.

Sulu merupakan kepulauan milik Filipina yang terletak di selatan negara berkenaan.

Isterinya, Fatima Kiram berkata, suaminya menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital kerajaan di sini pada usia 75 tahun selepas menghidap sakit buah pinggang.

“Sultan Kiram III meninggal dunia sebagai orang miskin tetapi bermaruah,” kata Fatima kepada agensi berita AFP.

“Kata-kata terakhir suami saya adalah supaya semua saudara dan pengikutnya terus berjuang (menuntut Sabah) demi bangsa kita.

"Jangan pinggirkan anak bangsa kita,” dia memetik Kiram III sebagai berkata.

Bagaimanapun, menurut Fatima, wasiat tersebut bukan bermakna pengikut Kiram III akan melancarkan keganasan baharu.

Sebaliknya, kata Fatima, keluarga diraja berkenaan bersedia untuk berunding dengan kerajaan Malaysia berhubung isu tuntutan ke atas Sabah.

Sebelum kematiannya, Kiram III menjalani rawatan dialisis dua kali seminggu.

Pada Februari lalu, seramai 200 pengikut Kiram III yang lengkap bersenjata menceroboh Lahad Datu di Negeri Sabah dengan diketuai saudara lelakinya, Agbimuddin Kiram.

Pencerobohan tersebut, dilakukan bagi menuntut Sabah sebagai sebahagian daripada wilayah milik Kesultanan Sulu.

Selepas kumpulan tersebut berkeras enggan meletak senjata, pasukan keselamatan Malaysia terpaksa bertindak ke atas mereka.

Pertempuran berdarah itu menyebabkan berpuluh-puluh pengikut Kiram III terbunuh dengan sebahagian lagi pen ceroboh bertindak melarikan diri.

Sebanyak sembilan anggota pasukan keselamatan dan enam orang awam turut terkorban dalam keganasan yang dilancarkan oleh Kiram III.

Kesultanan Sulu pernah memerintah pulau-pulau di selatan Filipina termasuk Sabah.

Namun, kesultanan tersebut hilang penguasaan ke atas Sabah kepada kuasa kolonial British pada kurun ke-18.

Bekas tanah jajahan British itu, kemudian menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia yang dibentuk pada 1963.

Sebelum ini, Kiram III dan keluarganya sebagai pewaris kepada kesultanan Sulu terus menerima pampasan tahunan sebanyak RM5,300 daripada kerajaan Malaysia.

Namun, keluarganya menyatakan bayaran tersebut adalah terlalu sedikit.

Selain Kiram III, terdapat beberapa pewaris lain yang mendakwa diri mereka Sultan Sulu yang sebenar.

Menurut Fatima, adik lelaki suaminya, Bantillan akan mengambil alih sebagai Sultan Sulu kerana dia yang berhak ke atas takhta berkenaan.

Dalam pada itu, pengikut bersenjata Kiram III kini di dakwa meningkat kepada 1,600 orang selepas disokong oleh kumpulan pemisah Filipina, Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro.

Agensi

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...