Pages

Tuesday, 29 October 2013

BUKTI HUDUD PAS HANYA MAINAN POLITIK PILIHANRAYA

Kita sangkakan, lagu ‘hudud’ akan terus tenggelam dari dinyanyikan oleh PAS semenjak parti itu giat menyokong puak Kristian menyebar dakwah melalui muslihat Injil berbahasa Melayu yang menggunakan nama Allah. Namun, PRK Sg. Limau telah memaksa PAS memainkan lagi lagu hudud melalui Harakah. Pastinya, ia bertujuan bagi mengingatkan pengundi Sungai Limau bahawa PAS itu masih lagi ‘berminat’ dengan Islam dan bahawa tindakan parti itu memejamkan mata dalam isu murtad hanyalah strategi politik semata-mata.

Kali ini, lagu hudud dinyanyikan oleh Menteri Besar Kelantan yang baru, Datuk Ahmad Yakob. Katanya, Kerajaan Negeri Kelantan serius ingin melaksanakan hudud serta tidak lemah semangat untuk terus berusaha agar Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 yang diluluskan DUN Kelantan dapat dilaksanakan sepenuhnya. 

Soalan kita, jika benar serius, kenapakah ia belum dilaksanakan lagi? Apakah halangannya?

Alasan yang biasa PAS berikan ialah hudud tidak boleh dijalankan selagi tidak mendapat persetujuan kerajaan persekutuan. Ini kerana Kerajaan Persekutuan telah menolak enakmen itu atas alasan terdapat terlalu banyak kelemahan yang mana menjejaskan proses keadilan terutamanya terhadap wanita, dalam membuktikan kejadian rogol. Enakmen tersebut juga telah didapati meragukan kerana menghalalkan liwat dalam hubungan suami isteri. Selain itu, proses pemilihan hakim dan saksi juga tidak dapat digariskan dengan terperinci bagi mengelak sebarang ruang manipulasi atau berat sebelah berlaku. 

Justeru, menurut PAS, kerajaan persekutuan merupakan halangan terbesar bagi Kelantan untuk melaksanakan hudud. 

Namun, sekiranya PAS benar-benar serius dan perlu mendapatkan kelulusan kerajaan persekutuan, bukankah langkah yang terbaik ialah memperbaiki Enakmen itu bagi menangani segala kelemahan dan keraguan tersebut? 

Kenapa perlu didesak ke atas sebuah undang-undang yang ada kelemahannya? 

Kenapakah tidak diusulkan deraf undang-undang yang baru? Jika perlu dideraf beratus kali sekalipun PAS wajib melakukannya bagi memastikan ia sebuah enakmen yang sempurna. Bukankah undang-undang Allah SWT itu adalah sempurna? Bukankah undang-undang Allah SWT itu adil? 

Maka jika PAS ingin melaksanakan undang-undang Allah SWT, maka PAS wajib menterjemahkan undang-undang itu dengan sempurna juga. Mana mungkin hukum Allah itu ada kelemahan seperti Enakmen Jenayah Syariah 1993 Kelantan itu?

Oleh itu, selagi ia tidak diperbaiki dan dipertingkatkan sehingga sempurna, selagi itu akan tetap ditolak oleh kerajaan pusat. Sekali gus, ini membuktikan bahawa PAS sebenarnya tidak serius untuk melaksanakan hudud tetapi sengaja ingin membiarkan ia tergantung untuk dijadikan modal politik dalam menyerang UMNO. 

Hakikatnya, hukum Allah SWT itu memerlukan perlaksanaan yang tepat dari semua segi dan tidak boleh ada sedikit pun kelemahan atau keraguan. Ketepatannya wajib diambilkira dari proses pemilihan hakim, pemilihan saksi, keadaan masyarakat serta siasatan yang sempurna dan hukuman pula perlu mengambilkira latarbelakang individu mengikut kes. 

Kesukaran itu memaksa manusia menilai keupayaan sendiri untuk menghukum atas hukum Allah SWT. 

Atas dasar itu, Al-Quran telah menjelaskan bahawa keadilan seharusnya mengatasi undang-undang. Dalam kata lain, biar apapun undang-undangnya, yang penting ialah keadilan itu terlaksana. 

Namun, PAS telah menjadikan hukum Allah SWT ini sebagai modal politik, sebagai mainan dan bahan promosi untuk meraih kuasa. 

Kesimpulannya, PAS bukan sahaja tidak serius mengenai hudud, tetapi mempermainkannya pula. Sebaiknya PAS tutup sahaja isu hudud dan tumpukan secara serius tentang cara-cara untuk memperbaiki ekonomi negeri dan rakyat Kelantan secara keseluruhannya. 

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...