Pages

Sunday, 22 September 2013

Oh! Kita Yang Mudah Terpedaya

BOLEH jadi khabar telah tersebar di kalangan para penjenayah di seluruh dunia bahawa orang Malaysia adalah antara manusia paling mudah diperdaya di dunia.

Mungkin dalam bahasa mereka tersendiri mereka mengata kita sebagai orang yang mudah tergoda. Menyedihkan kerana mereka sebenarnya Selain itu ada pula persepsi bahawa pintu masuk ke Malaysia mudah untuk dilalui oleh para penjenayah dan warga asing yang datang ke sini bukan sebagai pelancong, sebaliknya untuk menjalankan kegiatankegiatan yang mencurigakan.

Kita juga nampaknya senang percaya kepada orang berkulit putih dan percaya mereka semuanya adalah orang berharta walaupun sebenarnya mereka datang dari negara Eropah yang berada dalam krisis kewangan.

Kalau benarlah cerita-cerita lelaki Bosnia botak yang merasakan dirinya kacak dan bijak itu, sesetengah kita juga mungkin percaya bahawa baka orang kulit putih lebih baik.

Namun, dalam soal kerja menipu ini, warna kulit bukanlah menjadi persoalan utama. Pakar-pakar menipu dari Nigeria (yang begitu mahir menipu sehingga mungkin mereka layak untuk mengeluarkan ijazah dalam bidang penipuan) telah menipu bukan saja di Malaysia, malah juga di seluruh dunia.

Beberapa tahun lalu, beberapa penipu menggunakan taktik meyakinkan bakal mangsa mereka bahawa timbunan kertas berwarna hitam berukuran wang kertas yang berada dalam but kereta atau peti simpanan sebenarnya adalah wang betul yang telah dicelup dengan pewarna hitam, atau warna lain, konon untuk mengelakkan daripada dikesan oleh pihak kastam.

Mangsa kemudiannya diyakinkan untuk membayar kos pembelian bahan kimia khas yang boleh membasuh “wang” berkenaan dan dijanjikan dengan sebahagian daripada wang itu. Menariknya, banyak juga orang Malaysia, iaitu orang yang tamak dan sewel, yang percaya dengan penipuan seperti ini.

Seiring dengan ledakan internet, kita mula menerima e-mail daripada kononnya saudara-mara yang telah lama hilang entah di mana dan daripada beberapa kakitangan awam yang korup, sesetengah mereka mengaku berasal dari Zimbabwe, mengajak kita melabur dalam urusniaga yang meragukan. Kita dijanjikan dengan komisyen yang besar jika membantu penyangak-penyangak terbabit yang kononnya tidak dapat mengeluarkan wang daripada negara mereka sendiri.

Kaedah ini terlalu kerap dipakai sehingga rakyat Malaysia yang paling naif sekalipun tidak akan terpedaya dengannya. Lalu penipu-penipu Afrika ini mencipta kaedah lain.

Kita patut kagum dengan daya cipta mereka. Mereka membuat penyamaran baru sebagai orang kulit putih yang menetap di Amerika Syarikat atau Britain. Bunyinya memang mengarut, tetapi itulah yang mereka lakukan.

Memang susah untuk dibayangkan bagaimana seorang lelaki Afrika yang tinggal di pangsapuri sewa di Sentul boleh berlakon seperti seorang Hugh Grant yang canggih, bijak, dan memikat, dengan bahasa Inggeris yang sempurna dan beralamat di Chelsea.

Bagaimanapun, setiap tahun jutaan ringgit terbang ke tangan mereka kerana kaum wanita kita yang mudah terpedaya walaupun hanya bertemu dengan penipu-penipu tersebut menerusi internet dan tidak pernah terfikir untuk meminta mereka berbual secara bersemuka menerusi Skype atau Face Time.

Nampaknya suara mereka saja sudah cukup untuk menyakinkan sesetengah wanita-wanita kita ini.

Padahal sebahagian besar penipu dari Afrika tidak mampu sekalipun untuk menulis dalam bahasa Inggeris yang baik. Tapi apa nak dihairankan, kini orang Malaysia pun banyak juga yang tidak mampu berbuat demikian!

Menurut says.com, “Jenayah siber Malaysia lebih teruk daripada Mexico. Menurut Sophos Security Threat Report 2013, Malaysia adalah negara keenam paling terdedah pada jenayah siber.”

Menurut laman web tersebut, Malaysia tersenarai dalam 10 negara yang paling terdedah pada jenayah siber dengan kerugian dilaporkan mencecah RM1 bilion.

Kini semakin banyak orang Iran pula di Kuala Lumpur. Sebahagian besar kita tak mampu membezakan yang mana satu di antara mereka adalah hartawan minyak dan yang mana satu pula penyeludup dadah.

Media pula penuh dengan laporan tentang wanita Malaysia yang akhirnya menjadi keldai dadah untuk para penjenayah yang memperdayakan mereka – semua wanita ini mendakwa mereka telah diberikan tiket percuma dan dibayar untuk pergi bercuti di luar negara, dengan syarat mereka perlu menyerahkan suatu beg kepada seseorang sewaktu transit.

Kebelakangan ini kita mendengar pula orang Amerika Selatan memasuki Malaysia untuk merompak rumah rakyat Malaysia. Saudara saya sendiri pada suatu hari pulang ke rumahnya dan mendapati

beberapa individu berbahasa Amerika Latin sedang menggeledah rumahnya. Begitu burukkah keadaan kita sekarang?

Ya, semua mereka datang ke Malaysia – orang Amerika Selatan, Nigeria dan bangsa Afrika yang lain, serta orang Iran.

Seperti yang disebut oleh seorang penulis bernama Norman Sukumaran dalam blog “OutSyed The Box”, “kita tidak lagi berupaya mencegah pendatang haram Indonesia, tetapi kita tidak patut membiarkan negara ini menjadi syurga untuk orang Afrika, Iran, dan Amerika Selatan yang memasuki Malaysia semata-mata untuk melakukan jenayah (we have lost the fight against Indonesian overstayers and illegals, (but we) cannot now become a haven for Africans, Iranians and South Americans whose sole purpose to enter Malaysia is for criminal purposes).”

Para penjenayah ini membusukkan nama negara mereka sehinggakan bahananya turut dirasai oleh saudara-saudara senegara mereka yang bukan penjenayah, terdiri daripada pelajar dan tenaga profesional, apabila kita menggolongkan semua mereka dalam kategori yang sama.

Tetapi bolehkah rakyat Malaysia dipersalahkan jika mereka mempunyai tanggapan sedemikian?

Penjenayah tempatan saja sudah cukup membuatkan kita mual dan jelak, dan kini perkara terakhir yang kita tidak mahu berlaku ke atas kita ialah menjadi mangsa jenayah kepada warga asing.

Wong Chun Wai
Ketua Pengarang Kumpulan Media The Star dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.
mStar 17 September 2013

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...