Pages

Wednesday, 18 September 2013

MELAYU OH MELAYU ! FACEBOOK CHAT TAK BOLEH BLAH! ADEEH!!!

BARU-BARU ini saya menerima satu `posting' di Facebook berkisar tentang `chatting' membabitkan empat pemimpin - Tun Dr. Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ia bermula dengan kata-kata Dr. Mahathir yang bosan di malam hari. Kata-kata itu kemudian disambut Anwar yang mengajak Dr. Mahathir lepak dan makan sate di uptown. Dalam perbualan tersebut Anwar meminta Dr. Mahathir mengajak Najib sekali. Setelah persetujuan dibuat untuk bertemu dan makan sate, tiba-tiba muncul pula Nik Abdul Aziz yang bertanya mengapa beliau tidak diajak bersama.

Saya pasti posting ini sengaja direka-reka. Individu yang mereka-reka posting ini tentunya mempunyai alasan tersendiri. Benar, tidak molek bagi sesiapapun untuk bertindak mempersendakan para pemimpin. Apatah lagi pemimpin yang menjadi subjek persendaan adalah negarawan terbilang seperti Dr. Mahathir.

Namun, dari sisi lain, ia mungkin menggambarkan betapa si pereka posting ini benar-benar mengharapkan pemimpin-pemimpin yang disebutkan nama tersebut dapat duduk satu meja untuk bertemu, berbincang atau melakukan apa sahaja. Reaksi yang sama dapat disimpulkan apabila melihat ulasan-ulasan yang diberikan oleh mereka yang turut menerima posting sama. Betapa mereka juga sebenarnya sangat mengharapkan agar situasi mesra yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu tersebut benar-benar berlaku di negara tercinta ini.

Jika hari ini kita berbangga mengatakan Malaysia sebuah negara Islam, tetapi dengan sikap kita yang suka mencari salah orang lain dan berpecah-belah, apakah kita masih mempunyai keyakinan rasa bangga ini dapat dipertahankan?

Sesiapapun tidak dapat menafikan hakikat bahawa keamanan yang kita nikmati hari ini adalah hasil daripada kebijaksanaan pemimpin-pemimpin terdahulu. Kita merasa bangga apabila Malaysia dijadikan contoh oleh negara Islam lain.

Justeru, jika kita mahu terus merasa bangga sebagai anak Malaysia, keamanan dan keharmonian yang dinikmati ini wajar dipertahankan. Untuk menjadikan ini satu kenyataan, perkara paling penting ialah Melayu perlu kembali bersatu.

Malangnya hasrat untuk bersatu seolah-olah makin lama makin kabur. Kebanyakan pemimpin Melayu ketika ini dilihat lebih mengutamakan kepentingan diri daripada terus berusaha untuk mengangkat ketamadunan Melayu itu sendiri.

Kesannya, masyarakat Melayu terus berpecah-belah. Isu yang remeh diperbesar-besarkan. Peluang ini pula digunakan oleh pihak-pihak tertentu yang sememangnya menunggu masa yang sesuai untuk terus menenggelamkan Melayu.

Hakikatnya, Melayu tidak lemah disebabkan orang luar. Tetapi lemahnya Melayu adalah kerana ada di antara pemimpin Melayu sendiri sanggup menjadi pengkhianat bangsa. Jika sikap ini berterusan, natijahnya akan tiba juga.

Nasib yang bakal menimpa masyarakat Melayu mungkin tidak jauh bezanya dengan yang pernah dialami oleh rakyat pada era kerajaan Kesultanan Melaka.

Disebabkan pengkhianatan si kitol dan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pembesar ketika itu, akhirnya kerajaan yang pernah diiktiraf sebagai terkuat di dunia suatu ketika dahulu, musnah begitu sahaja. Lebih menyedihkan, tahta dan kesultanan Melayu Melaka juga lenyap sehingga kini.

Apakah kita mahu melihat satu lagi sejarah kehancuran ketamadunan Melayu? Melayu sebenarnya tidak punya banyak pilihan. Yang pasti, setiap pilihan berperanan untuk menentukan kelangsungan dan nasib orang Melayu itu sendiri.

SITI MARIAM MD ZAIN
"MELAYU OH MELAYU"
Biduk Berlalu Kiambang Bertaut
31 Julai 2013
Utusan Malaysia

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...