Pages

Saturday, 21 September 2013

4 DEKAD KEZALIMAN KOMUNIS, MELAYU TAKKAN LUPA!

Beriya-iya betul para gerombolan pemimpin pembangkang dan penyokong mereka serta segelintir politikus dari kalangan parti pemerintah cuba mempengaruhi khalayak semata-mata untuk membolehkan abu mayat ketua Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibenarkan mencemari kedaulatan tanahair tercinta ini.

Macamlah begitu tinggi nilainya abu mayat Chin Peng seolah-olah mampu mengubati derita keperitanan selama 4 dekad keganasan yang dipeloporinya.

Golongan yang berusaha membawa pulang abu mayat si celaka itu samada secara rasmi atau penyeludupan sebenarnya seperti sengaja mahu menyalakan kembali api amarah yang hampir padam dan diam tak diam telah mengguris luka lama menyebabkannya berdarah kembali.

Pelbagai alasan diberikan demi mencapai maksud tersebut seolah-olah mahu dilupakan segala kezaliman yang dilakukan oleh Chin Peng dan gerombolan pengganas komunisnya. Mereka lupa betapa peritnya kehidupan sepanjang tempoh Darurat 1948-1960 diikuti keganasan komunis yang berterusan sehingga 1989.

Beribu-ribu nyawa melayang terdiri dari orang awam dan anggota pasukan keselamatan malah sekian banyak rumah orang awam dibakar dan lelaki dewasa diculik ke dalam hutan kemudian dibunuh kejam termasuk dipenggal kepalanya. Yang cedera hilang kaki atau tangan bukan satu atau dua orang tapi beratus-ratus, malangnya abu mayat si celaka Chin Peng juga yang diutamakan.

Mereka sengaja melupakan betapa ramai isteri menjadi janda manakala si anak kecil menjadi yatim meratapi kehilangan ayah tersayang. Ibu tua di rumah pula kelu menangisi melihat sekujur tubuh si anak yang hilang tanpa kepala. Tak terdetik rasa hibakah? Atau abu mayat si celaka Chin Peng masih juga lebih penting demi kepentingan politik?

Tatkala anggota polis di Bukit Kepong diserang oleh anak didik Chin Peng iaitu Mat Indera serta kumpulannya, jangan sesekali kita lupa betapa kejamnya pengganas komunis yang tidak sedikit pun mempertimbang walau sekelumit pun nilai-nilai kemanusian semasa memulakan percikan api yang akhirnya membakar rentung setiap anggota polis Melayu Islam.

Tak cukup dengan membunuh dan membakar orang Melayu Islam, anggota polis yang berbangsa Cina juga ditembak mati sementara mana-mana orang Cina yang didakwa belot dari ideologi jahat komunis termasuklah golongan wanita pun dibunuh kejam. Sudah lupakah kalian semua dengan kejadian itu?

Ketika Chin Peng mengarahkan gerombolan pengganasnya menyerang hendap konvoi polis di Pekan Kroh yang menyebabkan 17 orang anggota polis terkorban dan jenazah mereka diperlakukan dengan kejam, apakah tika itu Chin Peng melakukannya kerana mengikut naluri kemanusiaan? Itu namanya sifat kebinatangan, bukan begitu?

Jadi kesimpulan muktamadnya, tiada alasan kukuh untuk membenarkan walau sezarah dari abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua untuk dibiarkan tertanam di bumi pertiwi Malaysia. Empat dekad kezaliman pengganas komunis diketuai Chin Peng terlalu perit, jangan sesekali menyebabkan luka lama berdarah kembali.

mykmu.net

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...