Pages

Friday, 13 September 2013

ADA YANG TIDAK PERCAYA! Dasar Untuk Bumiputera Untungkan Semua Kaum

Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin hari ini berpendapat bahawa apa juga dasar yang memberi kebaikan kepada golongan Bumiputera akan menguntungkan semua kaum.

Menurutnya, kesan positif pelaksanaan dasar itu akan turut dinikmati oleh kaum-kaum lain kerana Bumiputera merupakan kelompok majoriti dalam kerangka ekonomi negara.

“Seperti telah terbukti ketika pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) serta dasar-dasar selepasnya, apa juga yang diberikan kepada kaum Bumiputera turut mengalir kepada kaum-kaum lain khususnya kaum-kaum yang menguasai ekonomi,” kata Kadir ketika dihubungi Astro Awani.

Beliau mengulas tentang dasar baru untuk Bumiputera yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Sabtu ini.

Kadir yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press (NSTP) menjelaskan, apa yang perlu dilihat daripada pengumuman Najib itu ialah bagaimana untuk menangani masalah ekonomi 40 peratus rakyat yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

Kata beliau, ini penting kerana golongan tersebut majoritinya adalah Bumiputera.

Ditanya sama ada kaum Melayu benar-benar memerlukan dasar yang baru untuk membela nasib mereka, Kadir berkata bukan sahaja kaum Melayu malah kesemua yang termasuk dalam 40 peratus itu memerlukannya.

“Bukan sahaja orang-orang Melayu dan Bumiputera memerlukannya, kesemua yang berada dalam 40 peratus itu harus mendapat bahagian dan manfaat daripada apa yang Perdana Menteri akan umumkan,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif TalentCorp Johan Mahmood Merican ketika diminta mengulas tentang peranan agensi itu dalam meningkatkan modal insan, berkata TalentCorp akan melihat ruang untuk bekerjasama dengan kementerian-kementerian terlibat bagi tujuan tersebut.

“Untuk modal insan, pendidikan merupakan kuncinya dan mereka perlu ada kelayakan profesional yang relevan,” jelasnya.

Najib dijangka mengumumkan dasar tersebut bagi meningkatkan lagi penglibatan Bumiputera dalam sektor ekonomi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar menjelaskan, antara perkara yang bakal disentuh oleh Perdana Menteri ialah pembangunan modal insan, pemilikan ekuiti dan pemilikan hartanah oleh Bumiputera.

- ASTRO AWANI

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...