Pages

Tuesday, 17 September 2013

8,449 DITAHAN DALAM TEMPOH SEBULAN OPS CANTAS DILAKSANAKAN


Seramai 8,449 orang yang terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah telah ditahan dalam tempoh sebulan Ops Cantas Khas dilancarkan di seluruh negara.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata mereka merupakan daripada 202,839 orang yang diperiksa sejak 17 Ogos lepas melalui sekatan jalan raya, serbuan dan pemeriksaan dari rumah ke rumah.

"Daripada jumlah itu seramai 3,620 adalah kaum Melayu, India seramai 2,425 orang, 1,052 orang Cina manakala lain-lain bangsa seramai 1,352 orang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata polis juga turut merampas 23 pucuk senjata api, 1,232 butir peluru serta 283 senjata yang dijadualkan.

"Antara lainnya kita merampas sebanyak 12 laras senapang angin buatan sendiri, sluck peluru (11), sebiji bom tangan," katanya.

Abdul Jalil berkata senjata yang dijadualkan yang dirampas terdiri daripada 25 bilah pedang, pisau (89), parang (83), kapak (7), batang besi tajam (16), tukul besi (12), buku lima (26), kayu panjang (4), kerambit (8), pistol tiruan (3), spanar hidup (3), dua kelopak peluru dan dua cota serta masing-masing satu stun gun, golok bersarung dan gari.

Beliau juga berkata daripada 124,095 kenderaan yang diperiksa, sebanyak 354 kenderaan curi dikesan. 

"Daripada 50,965 buah kereta yang diperiksa, 174 telah dirampas. Sementara daripada 61,979 buah motosikal yang diperiksa, 150 dirampas dan daripada 11,151 buah kenderaan lain-lain yang diperiksa 30 dirampas. Kesemunya kenderaan yang dirampas dipercayai dicuri," katanya.

Ops Cantas Khas dijalankan bagi membanteras kongsi gelap dan individu terbabit dengan jenayah berat di seluruh negara setelah jenayah keganasan melibatkan pembunuhan, rompakan, rogol dan pergaduhan dilaporkan meningkat termasuk pembunuhan dan cubaan bunuh golongan berprofil tinggi.


Bernama

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...