Pages

Friday, 19 July 2013

HOT NEWS: DAP Mesti Terbakar Bila Baca Ni!

Apabila Kementerian Pendidikan mengambil keputusan mewajibkan subjek teras universiti, Tamadun Islam Tamadun Asia (TITAS) di IPTS, tidak semena-mena ahli parlimen DAP melompat seperti cacing kepanasan. Pemimpin MCA turut menyokong. Katanya tidak wajar hanya satu sahaja tamadun yang diajar iaitu tamadun Islam.

Terbaharu, seorang ahli parlimen Pulau Pinang DAP mencadangkan supaya TITAS menjadi subjek elektif. Ahli parlimen yang tidak ketahuan asal usul bangsanya ini, kecuali agamanya (Islam), mahukan subjek ini diturunkan tarafnya menjadi elektif. Persoalan saya, siapakah beliau?

Ini diikuti protes dari gabungan NGO anak muda Cina yang dikenali sebagai Emco, yang terdiri daripada penganut Buddha dan Kristian tampil mengatakan bantahan mereka kerana disifatkan, sebagai satu “indoktrinasi” ke atas siswa IPTS. Ia juga melanggar Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak untuk menganut dan mengamalkan agama seseorang dan menghalang indoktrinasi sesuatu agama yang tidak dianutinya.

Mereka berkata, kerajaan perlu mengetepikan pendekatan “sempit dan sektarian” dalam pendidikan dan juga menghormati kepelbagaian etnik dan agama di Malaysia. Dalam merancang mata pelajaran berhubung tamadun agama, pertimbangan perlu diberikan kepada sejarah agama utama, doktrin serta kesan agama ke atas pembangunan ketamadunan.

Bantahan ini seterusnya disambut oleh Bishop Katolik, Paul Tan, mengesyorkan diperkenal pengajian semua tamadun dunia kepada golongan itu. Beliau berkata, tamadun Greek, Rom dan Judeo-Christian juga menyumbang banyak nilai kepada manusia dan perlu diketahui seiring dengan usaha melahirkan graduan yang terbiasa dengan nilai-nilai "yang baik, benar dan indah".

Jahil sungguh mereka. Dahulu bersatu dalam senyap. Kini bersatu secara terbuka. Malangnya, kita makin mengalah. Persoalan saya, adakah mereka sudah baca buku teks TITAS ini? Jika belum cubalah baca. Jangan buat tuduhan semborono. Tidakkah beliau sedar bahawa sekurang-kurang tiga tamadun diajar iaitu Islam (Melayu), China dan India.

Ini akibatnya apabila bukan pakar membahaskan isu-isu diluar kepakarannya. Akhirnya, lahirlah pandangan-pandangan yang amat naïf dan pandir. Selaku ketua program subjek teras universiti, TITAS bukanlah subjek tamadun Islam sepenuhnya, tetapi telah diadunkan dengan beberapa tamadun dunia.

Untuk makluman, kursus ini merupakan satu kursus yang membincangkan ilmu ketamadunan yang merangkumi interaksi antara pelbagai tamadun seperti Mesopotamia, Mesir, China, India, Islam, Barat. Tamadun Islam ditekankan sedikit, kerana tamadun inilah yang melonjakkan orang Melayu dalam membina tamadun Malaysia. Jika tidak, Melayu tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan. Melayu dan Islam itu sebati.

Turut diajar adalah tamadun tamadun China, Tamadun India, isu-isu kontemporari Tamadun Islam dan Tamadun Asia, cabaran globalisasi dan Islam dalam proses pembangunan negara. Sebenarnya tidak ada masalah langsung. Semua tamadun diraikan. Ada apa disebalik membangkitkannya?

Seperti subjek kenegaraan, tujuan TITAS adalah untuk memberikan pemahaman komprehensif mengenai sejarah dan nilai tamadun. Tujuannya tidak lain, (1) membina satu generasi Malaysia yang berpengetahuan dan peka mengenai isu-isu ketamadunan dan peradaban; (2) memperkukuh jati diri bangsa Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum dengan mengamalkan kehidupan yang bertoleransi dan bertamadun.

Kami berkeyakinan selepas mengikuti kursus ini, pelajar akan dapat memahami dan menjelaskan aspek-aspek utama tamadun, tamadun Islam dan tamadun Asia serta berpengetahuan dan peka mengenai isu-isu ketamadunan.

Pendek kata, TITAS amat penting kepada rakyat Malaysia yang ingin hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan saling memahami. Negara lain, kebanyakan sebangsa, mungkin mereka tidak perlu mempelajari banyak tamadun berbanding kita di sini. Saya mohon bacalah keseluruhan teks TITAS ini.

Sepanjang pengalaman mengajar subjek ini di IPTA, tidak ada seorang pun pelajar bukan Islam yang bersungut, apatah lagi membantah, malah mereka seronok dapat mempelajari tamadun bangsa sendiri dan bangsa lain. Tamadun Islam diadunkan kerana ia adalah juga tamadun Melayu.

Lebih membanggakan, pelajar Melayu tidak pernah bising apabila tamadun China dan tamadun India turut diajarkan. Pelajar Melayu menerima dengan baik atas dasar menambah ilmu dan kepentingan memahami bangsa lain. Inilah sifat Melayu yang amat saya kagumi, berbanding bangsa saya sendiri. Persoalannya, kenapa orang bukan Islam begitu sensitif dengan tamadun Islam?

Kenapa perkara sebegini boleh terjadi bagi mereka yang telah berjaya mengaut segala keuntungan di bumi bertuah ini? Kita tidak berjaya melahirkan bangsa Malaysia yang bersyukur, tetapi terus kufur, walau sememangnya mereka kufur.

Subjek ini mengambil kira pandangan Samuel P. Huntington, dalam bukunya Clash of Civilizations, akan betapa pentingnya kita saling kenal-mengenal tamadun sesuatu bangsa. Subjek ini amat berguna, terutama kepada rakyat Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk.

Jika tidak, akan lahir orang-orang seperti Melissa Gooi yang menghina nabi Muhammad SAW dan pasangan Tan Jye Yee (Alvin), 25 dan Vivian Lee, 24, yang memuat naik gambar hidangan dan kapsyen yang menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial Facebook. Pasangan ini telah memuat naik gambar sedang menikmati hidangan bak kut teh (herba sup babi) di Facebook. Sambil menulis kapsyen "Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh ...wangi, enak dan menyelerakan, serta meletakkan logo halal pada gambar berkenaan. Saya tidak nampak ia dilakukan secara tidak sengaja.

Pasangan ini sengaja mahu menyakitkan hati umat Islam. Orang sebegini mesti dihalau keluar daripada negara bertuah ini.

Pendapat yang lebih ekstrem dari saya, jika benarlah hanya tamadun Islam sahaja yang akan diajar, apa salahnya? Jika saya ada kuasa, saya akan paksakan subjek ini sejak dahulu lagi. Islam adalah agama persekutuan dan agama bangsa majoriti. Apakah salah bukan Islam mempelajarinya untuk hidup di bumi Melayu Islam? Bukan Melayu sepatutnya lebih memahami agama Islam anutan majoriti orang Melayu Islam sebelum memahami bangsa lain. Itu adalah lebih baik untuk integrasi nasional. Kecualilah jika mereka tidak mahu tinggal di sini.

Saya amat yakin jika diberikan pilihan dua subjek antara tamadun Islam dan tamadun barat. Tidak seorangpun di kalangan puak-puak ultra kiasu ini yang akan mengambil tamadun Islam.

Kenapa mereka begitu beriya-iya belajar tamadun barat, tetapi bukan tamadun Islam (Melayu)? Nampak sangat beliau memandang hina kepada kita semua. Sebab itu, mereka langsung tidak mahu memakai baju kebangsaan dan bersongkok ketika majlis rasmi. Mereka amat megah dengan pakaian barat.

Saya amat bimbang jika ditakdirkan kumpulan ultra kiasu ini berjaya memerintah Malaysia dalam PRU14 nanti. Semua identiti Islam akan dihapuskan. Lebih menghairankan, kenapa PAS membisu seribu bahasa. Ultra kiasu telah menjadi semakin kurang ajar. PAS mesti berani menegur dan mengajar mereka bertatasusila selaras dengan prinsip rukun negara.

Lebih malang lagi, tidak ada wakil IPTS yang menyokong hasrat kerajaan ini. Kenapa? Jawapannya, kerana mereka terpaksa mencari pensyarah untuk mengajar subjek yang dianggap ‘tidak berguna dan merugikan ini. Maka akan bertambahlah kos untuk mengambil pensyarah baharu. Pada mereka, ini membazir dan merugikan. Sebab itu mereka hasut anak-anak mereka membangkitkan isu ini. Bila dibangkitkan, kitapun mengalah…alahai nasib Melayu di bumi Melayu.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Prof Madya/Ketua Program
Program Kenegaraan, Kepimpinan dan Ketamadunan
Faculty Pengajian dan Pengurusan Pertahanan
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Sungei Besi Camp
57000 KUALA LUMPUR
MALAYSIA

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...