Pages

Tuesday, 25 June 2013

Zalimkah Polis Berkas Penyamun?

Penulis percaya, jika sedikit hari lagi ada di kalangan peguam Pakatan Pembangkang yang membangkitkan isu polis zalim kerana membiarkan penyamun berbangsa India yang berjaya ditahan oleh pihak polis selepas menyamun ini meniarap di atas jalan tar yang panas dengan tangan bergari ke belakang, semestinya ia tidak lagi menjadi sesuatu yang menghairankan. Memang sudah menjadi kebiasaan kepada Pakatan Pembangkang untuk menyalahkan pihak polis walaupun atas perkara yang  tidak dilakukan oleh anggota pasukan tersebut.

Bermula daripada Bersih yang diadakan secara berangkai, semua dikatakan salah pihak polis apabila berlaku kekecohan sedangkan ketara mereka yang melakukan provokasi melampau. Bahkan di dalam salah satu siri himpunan Bersih, nampak jelas mereka yang mengganas apabila melakukan kekerasan terhadap anggota polis yang sedang bertugas seterusnya mencederakan mereka serta merosakkan harta awam namun tuduhan dijatuhkan ke bahu pasukan polis.

Mungkin puak Pakatan Pembangkang ada menyimpan dendam yang tidak berpenghujung kepada pasukan polis, justeru pelbagai tuduhan dilemparkan kepada pasukan tersebut untuk menjatuhkan semangat mereka. Namun begitu, tanpa puak ini menyedarinya, sebenarnya pasukan polis inilah yang memberikan mereka keselamatan.

Tanpa pasukan polis, tidak mungkin mereka bebas bergerak ke sini sana tanpa gangguan. Dengan adanya pasukan polis, mereka boleh meninggalkan kediaman mereka untuk pergi bercuti ke mana-mana tanpa perlu risau akan dipecahmasuk oleh perompak. Namun bagi puak yang sudah buta mata dan hati ini, jasa pasukan polis ini tidak menimbulkan kesan di hati mereka apatah lagi untuk dihargai.

Apabila berlaku jenayah, kepada pihak polis mereka meminta pertolongan. Namun apabila selamat dari jenayah, bukan hendak berterima kasih, sebaliknya tuduhan demi tuduhan dilemparkan kepada pasukan tersebut.

Tahanan mati di lokap, pihak polis juga disalahkan. Tidak cukup dengan itu, anggota polis juga dituduh sebagai anjing kerajaan. Itu belum lagi dikira tuduhan polis rasuah dan sebagainya.

Tidak dinafikan ada segelintir anggota polis yang tidak beretika, namun ia bukan bermakna pasukan tersebut boleh sesuka hati diperlekehkan. Tugas mereka mulia, menjaga keselamatan dalam negara.

Justeru, penulis menyeru, kalaupun tidak memuji, cukuplah untuk orang ramai terutama puak Pakatan Pembangkang menghormati pasukan keselamatan yang tanpa mengira waktu ikhlas bertugas menjaga keselamatan dan mencegah jenayah.

Suara Generasi Baru

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...