Pages

Saturday, 8 June 2013

PILU: Janji Beli Aiskrim Untuk Anak Tak Kesampaian

Jenazah Tajudin Zainal Abidin, 45 yang ditemui mati di dalam runtuhan tanjakan konkrit Jambatan Kedua Pulau Pinang Batu Maung yang dalam pembinaan di sini, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 39, Bukit Merah, Perak.
Balu Allahyarham, Shariffah Ramli, 40, berkata jenazah suaminya akan disemadikan malam ini juga selepas segala urusan selesai.
Mayat Tajudin ditemui dalam keadaan tunduk di tempat duduk pemandu keretanya yang remuk akibat dihempap runtuhan tanjakan konkrit itu lewat petang Jumaat.
Shariffah yang ditemui media di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP)di sini, berkata suaminya menghubungi anak perempuan sulung mereka pada pukul 6.30 petang dengan janji membeli aiskrim di Medan Selera Pantai Seagate, Batu Maung, sebelum pulang ke rumah mereka di Permatang Damar Laut.
Bagaimanapun, beliau mula mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku kerana suaminya gagal tiba di rumah mereka kira-kira dua jam kemudian selain panggilan ke kedua-dua nombor telefon milik Allahyarham tidak berjawab.
Susulan itu beliau keluar mencari suaminya di medan selera berkenaan dan mendapati keadaan jalan sesak teruk akibat insiden runtuhan itu.
"Lepas itu saya lihat laporan di televisyen mengatakan ada kereta Perodua Kelisa dengan sebahagian nombor plat yang telah remuk serupa dengan suami saya tertimbus dalam runtuhan itu. Masa itu saya mula rasa tidak sedap hati walaupun laporan itu mengatakan ada empat orang dalam kereta itu," katanya Shariffah berkata, beliau hanya mendapat pengesahan mengatakan mangsa yang terbabit adalah suaminya pada tengah hari Jumaat.
Tajuddin yang bekerja sendiri meninggalkan dua anak Nur Ain Maisara dan Nur Aina Syazwani masing-masing berusia 7 dan 11 tahun.
Sementara itu, Pakar Perunding Patologi Jabatan Forensik HPP, Datuk Dr Bhupinder Singh, berkata kematian Tajudin berpunca daripada kesesakan nafas.
"Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia serta-merta sejurus insiden itu berlaku selain turut mengalami kecederaan di kedua belah kaki dan patah tulang kedua belah tulang rusuk," katanya menambah bedah siasat bermula pukul 10 malam dan selesai pada 11.40 malam.
Terdahulu pada kejadian 7.15 malam tadi, dua bahagian konkrit iaitu 180 ton konkrit keras dan 100 ton konkrit lembut runtuh secara tiba-tiba.
Setakat ini lebih 350 anggota pasukan terdiri daripada polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam, pekerja syarikat pembinaan dan kontraktor sedang bertungkus-lumus mengalihkan runtuhan konkrit dan melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan kejadian. - BERNAMA

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...