Pages

Monday, 20 May 2013

Hari Belia Negara : Apa Keperluan Belia Yang Harus Kerajaan Beri?



Tanggal 15 Mei setiap tahun dipilih sebagai Hari Belia Negara. Apakah signifikan kepada tarikh tersebut sehingga kerajaan Malaysia menjadikan setiap tahun pada tarikh itu untuk meraikan belia-belia negara? 15 Mei dipilih sebagai menghargai belia-belia negara dan sebagai satu pengiktirafan oleh kerajaan terhadap golongan yang bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan. Putrajaya dipilih sebagai lokasi utama bagi sambutan Hari Belia Negara kerana dipercayai pemimpin yang telah membangunkan Putrajaya harus dihargai dengan pengisian program-program yang bermanfaat dan menjadikan Putrajaya sebagai sebuah lokasi yang meriah, penuh dengan anak muda.

Pilihanraya ke 13 baru saja berakhir dengan kemenangan berpihak kepada kerajaan Barisan Nasional. Rakyat masih mempercayai kredibiliti pemimpin-pemimpin yang telah dipilih bagi meneruskan lagi transformasi yang diilhamkan Perdana Menteri, Dato Sri Mohd Najib Tun Razak. Rakyat percaya dengan memilih mereka ini mampu menyelesaikan pelbagai perkara yang masih tertangguh dan rakyat berpegang kepada prinsip Aku Janji Barisan Nasional iaitu ‘Janji di Tepati’.

Bertitik-tolak dari pemilihan itu, golongan belia adalah yang ramai dalam menyuarakan pendapat dan inginkan sesuatu yang baru dari kerajaan. Kerajaan harus terus berpegang kepada golongan ini yang mampu menaikkan dan menjatuhkan kerajaan. Suara mereka harus didengari tanpa disisihkan kerana mereka juga berhak untuk bersuara demi kepentingan masa depan mereka. Penulis berpendapat pemimpin kerajaan harus sentiasa turun padang dengan mendekati golongan belia dengan secara santai.

Sekiranya ada ruang perantaraan antara pemimpin dan golongan ini sudah pasti mereka malu dan segan untuk bersuara. Pemimpin tidak boleh selalu menggunakan cara yang mempunyai protokol untuk mendekati golongan belia seperti ceramah,debat,majlis rasmi dan sebagainya. Pemimpin harus sesekali mendekati belia dengan acara santai seperti bermain bola sepak, bola tampar, bowling dan minum petang atau malam bersama. Dengan cara santai golongan belia mudah mesra dan didekati dan dengan cara itu mereka akan menyuarakan pendapat serta berkongsi keinginan mereka.

Kerajaan juga harus beri tumpuan terhadap golongan belia yang tidak mempunyai pekerjaan. Peluang pekerjaan harus diberi lebih banyak dan juga program-program kemahiran harus diperluaskan sehingga ke peringkat universiti. Bagi belia yang tidak dapat menyambung pelajaran mereka harus diberi tumpuan agar tidak terpesong dengan membuang masa dan menjadi penganggur. Selain dari kemahiran pertukangan dan juga elektrik serta perindustrian, kerajaan juga boleh memberi peluang kepada belia yang minat dalam kemahiran keselamatan.

Ianya boleh dibahagi kepada beberapa bidang seperti keselamatan di tempat kerja, keselamatan di dalam air, keselamatan di jalan raya dan sebagainya. Mereka boleh menjalani latihan yang ditetapkan mengikut piawaian kerajaan dan ini memberi peluang kepada mereka untuk bekerja tanpa perlu berpeleseran tanpa arah tuju. Dengan cara ini juga boleh menjamin kehidupan mereka pada masa hadapan.

Kerajaan harus mengambil contoh-contoh anak muda dari negara luar dan mempraktikkannya di Malaysia. Seperti di Negara Jepun yang memberi peluang kepada golongan itu bekerja dalam bidang IT. Selain itu juga, pernbiagaan adalah paling mendapat sambutan. Kursus perniagaan dan keusahawanan telah dijalankan kerajaan sejak bertahun-tahun dahulu namun pada masa kini ianya tidak relevan dengan menggunakan kaedah yang sama. Mungkin dari segi penyebaran maklumat perniagaan dan juga cara berniaga serta kaedah-kaedah yang diperlukan mengikut perkembangan perniagaan semasa.

Oleh itu kerjaan harus mengambil inisiatif untuk mendekati golongan belia ini dan mendengar permasalahan mereka serta berkongsi idea. Kadang-kadang idea golongan ini boleh digunapakai untuk kemajuan negara. Apa yang penting kerajaan harus dengar suara anak muda dan kehendak mereka.

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...