Pages

Saturday, 4 May 2013

BREAKING NEWS: Surat Majlis Syura Melarang Ahli PAS Mengundi Calon PR Didedah?


Sebuah laman blog menyiarkan kenyataan yang dikatakan keputusan Majlis Syura Pas agar ahli-ahli parti itu tidak mengundi calon pakatan pembangkang kecuali calon Pas.

Kenyataan yang mempunyai lambang Pas dan ditandatangani oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali itu disiarkan laman blog Gerakan Minda di http://gerakanminda.blogspot.com/.

Berdasarkan surat bertarikh 2 Mei itu, keputusan tersebut didakwa dibuat oleh Majlis Syura Ulama Pas yang bermesyuarat pada tarikh berkenaan.

Selain itu, isi kandungan surat berkenaan juga mendakwa, Majlis Syura juga telah memutuskan untuk menggesa Pas keluar daripada pakatan pembangkang memandangkan kerjasama Pas bersama PKR dan DAP selama ini dilihat tidak memberi sebarang keuntungan kepada Pas sebaliknya telah membawa Pas ke arah perpecahan.

Bagaimanapun sejauh mana kesahihan surat yang menggunakan kepala surat Pas itu tidak dapat dipastikan.

Namun begitu, Utusan Malaysia dimaklumkan oleh satu sumber dalaman, penyokong-penyokong Pas sememangnya sudah bertekad tidak akan memberikan undi kepada calon-calon pakatan.

"Ini sebagai tindak balas berikutan sikap PKR dan DAP yang dilihat tidak menghormati Pas khususnya dalam soal perjuangan Islam serta pembahagian kerusi," kata sumber itu.

Sumber itu berkata, pada hari pengundian esok, mana-mana kawasan yang ditandingi oleh PKR dan DAP, penyokong-penyokong Pas tidak akan keluar mengundi.

Menurut sumber itu lagi, penyokong Pas juga bertindak demikian kerana kecewa dengan sikap kepimpinan PKR dan DAP yang tidak berbuat apa-apa terhadap pemimpin dan ahli mereka yang dilihat memusuhi Pas.

"Tindakan beberapa pemimpin DAP yang secara terbuka meminta ahli-ahlinya tidak mengundi Pas adalah satu perbuatan yang dianggap cukup mengguris perasaan ahli-ahli Pas.

"Oleh itu, mereka akan melakukan tindak balas dengan memastikan calon-calon PKR dan DAP tidak akan mendapat undi mereka," katanya.

Selain itu, sumber tersebut berkata, jentera-jentera Pas yang bertugas di kawasan yang ditandingi PKR dan DAP sama ada akan dilumpuhkan atau tidak digerakkan secara aktif.

Sementara itu, satu sumber lain memberitahu, konflik dalaman Pas Kedah semakin meruncing apabila beberapa pondok Unit Peti Undi (UPU) ditutup sebagai tanda protes kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Keadaan itu ketara berlaku di Changlun, Sik, Yan Kecil dan Bukit Kayu Hitam.

Menurut sumber tersebut, pada 24 April lalu, seorang pengarah Dewan Undangan Negeri dalam kawasan Parlimen Jerlun meletakkan jawatan kerana kecewa dengan Pas Kedah.

"Selain itu ada pula ketua jentera yang bukan sahaja menutup operasi tetapi juga turut bertindak memburuk-burukkan calon daripada parti sendiri," kata sumber itu.

Di satu kawasan Parlimen pula, kata sumber itu lagi, satu kumpulan penyokong Pas aktif menjalankan gerakan untuk memastikan pemimpin kanan mereka yang bertanding di situ tewas.

"Keadaan itu berlaku kerana calon tersebut bukan pilihan Azizan sebaliknya pilihan pemimpin pusat, sedangkan ahli-ahli Pas kawasan berkenaan mahu calon mereka dipilih bertanding," katanya.

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...