Pages

Friday, 26 April 2013

TERKINI : Misuari disyaki dalang sabotaj


Pihak berkuasa Malaysia sedang menunggu laporan penuh siasatan pasukan keselamatan Filipina mengenai 35 orang pengganas Sulu yang ditembak mati di Pulau Sibutu, Filipina pada Sabtu lalu yang didakwa cuba memasuki Sabah untuk melakukan sabotaj terhadap Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Siasatan itu turut merangkumi dakwaan bahawa kumpulan pengganas yang diketuai Jamalul Kiram III itu didalangi bekas Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin pembangkang di Malaysia..
“Kita juga sedang menunggu maklumat mengenai latar belakang Kalling Amirul yang mengetuai puak 34 lelaki untuk menceroboh pantai timur Sabah,” kata satu sumber semasa dihubungi di sini semalam.
Sebelum ini, jelas sumber tersebut, risikan pihak berkuasa menerima maklumat terdapat rancangan puak pengganas Sulu dari selatan Filipina yang sedang menunggu peluang untuk menceroboh Sabah ketika rakyat Malaysia memilih kerajaan.
“Mereka menaruh harapan untuk mengganggu proses pilihan raya dan seterusnya bercita-cita menawan Sabah,” kata sumber itu.
Semasa krisis di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah dahulu pada Februari lalu, Nur Misuari turut didakwa mempunyai peranan dalam insiden tersebut.
“Semua maklumat mengenai Nur Misuari belum jelas. Pihak berkuasa negara ini masih menunggu maklumat lanjut daripada pasukan keselamatan negara jiran,” kata beliau.
Sementara itu, pada majlis ramah mesra bersama Angkatan Tentera Malaysia di George Town semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan laporan akhbar bahawa 35 orang pengganas Sulu yang diketuai pemimpin kanannya, Kalling Amirul ditembak mati oleh Tentera Laut Filipina di Pulau Sibutu.
Kematian pengganas itu berlaku pada hari penamaan calon PRU-13.
Menurut beliau, siasatan dan maklumat risikan mengesyaki kumpulan pengganas yang mati ditembak itu dalam rancangan memasuki Sabah dan menimbulkan kekacauan pada PRU-13.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada angkatan tentera Filipina khususnya Tentera Laut Filipina dan Pengawal Pantai Filipina yang telah memberi kerjasama dalam mencegah kemasukan pengganas ke Malaysia.

Kosmo

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...