Pages

Monday, 8 April 2013

BREAKING NEWS! WAKE UP CALL FOR UMNO PERLIS!


Luahan anak negeri Perlis Indera Kayangan. Teman terima email dari seseorang yang meminta artikel ini disiarkan. Beliau sebenarnya ingin menyeru UMNO Perlis bangun berhenti bercakaran. Teman yakin niatnya baik dan suci demi memastikan kemenangan Barisan Nasional di Perlis Indera Kayangan. Harap pembaca membaca dengan rasional dan berfikiran matang. Menentang bukan bermakna tidak menyokong, cuma seorang insan biasa yang mahu memastikan kemenangan besar Barisan Nasional.


Ahmad Ridzuan Abdul Majid 
Kangar


Perlis Indera Kayangan adalah sebuah negeri yang paling kecil dan paling utara kedudukannya di atas  peta Semenanjung Malaysia. Tatkala tsunami politik melanda negara pada tahun 2008 yang menyaksikan 5 buah negeri di semenanjung jatuh ke tangan pakatan pembangkang, Perlis kekal dimiliki oleh kerajaan Barisan Nasional. Itu adalah merupakan satu pencapaian yang luar biasa bagi BN di bawah pimpinan Datuk Seri Shahidan Kassim, Pengerusi BN negeri Perlis ketika itu.

Tsunami politik tidak berakhir dengan begitu sahaja. Ia menyaksikan perubahan tampuk kepimpinan negara daripada Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) kepada Dato’ Sri Najib Tun Razak. Pak Lah mengambil tanggungjawab di atas kekalahan terbesar Barisan Nasional dalam sejarah Pilihanraya Umum negara . Perlis juga tidak terkecuali. Sesuatu yang mengejutkan berlaku apabila pihak Istana Arau mahukan Menteri Besar baru menggantikan Dato’ Seri Shahidan sekalipun beliau telah berjaya memastikan kemenangan Barisan Nasional negeri. Akhirnya, naiklah Dato’ Seri Dr. Md Isa Sabu sebagai Menteri Besar Perlis setelah Raja Perlis memberi perkenan atas perlantikannya.


Kecil-kecil cili padi, walaupun kecil tetapi berapi. Begitulah negeri Perlis ini. Tidak padan dengan saiznya yang kecil, politik di dalam negeri tersebut begitu rancak dengan pelbagai kem-kem politik yang terhasil sejak sekian lama. Ini mungkin disebabkan Perlis telah melahirkan begitu ramai pemimpin-pemimpin yang bergiat aktif di pentas politik nasional dan negeri seperti Dato' Seri Mohd Radzi  Sheikh Ahmad , Dato' Seri Azmi bin Khalid , Dato’ Seri Shahidan Kassim dan juga terbaru Dato’ Seri Md Isa Sabu. Masalah di Perlis adalah pemimpinnya ramai tetapi kerusi Dun dan Parlimennya tidak banyak. Hanya ada 3 kerusi Parlimen iaitu Arau, Padang Besar dan Kangar yang menjadi rebutan para pemimpin Perlis untuk beraksi di pentas nasional. Rakyat Perlis rata-rata mengetahui akan kewujudan politik berpuak ala-ala ‘warlords’ di Perlis yang sentiasa melobi dan menikam satu sama lain demi kelangsungan politik mereka untuk sekian lama. 



Cuma, permusuhan yang disangka akan selesai rupanya menjadi semakin parah bagaikan retak menanti belah. Masing-masing mahukan orang-orang mereka menjadi calon hinggakan calon yang neutral kerap menjadi mangsa. Ini sebenarnya merugikan UMNO! Dakwaan-dakwaan pelbagai kedengaran seperti ada dua senarai nama yang dihantar kepada Perdana Menteri sebagai calon pilihanraya umum ke-13 oleh pimpinan negeri Perlis bagi menaikkan calon-calon dari kem masing-masing. Perpecahan semakin jelas kelihatan. Ini amat tidak kondusif untuk kemenangan UMNO dan Barisan Nasional. Pembangkang melihat semua ini dengan gelojak nafsu dan harapan rakus yang membuak-buak kerana perpecahan dan lemahnya  UMNO Perlis. Ini merupakan resepi terbaik untuk mereka merampas Perlis dari pangkuan UMNO. 



Sejarah telah membuktikan bahawa semasa PRU ke-12 pada tahun 2008, UMNO tewas kepada pembangkang bukan atas kekuatan dan kredibiliti pembangkang tetapi kerana orang UMNO sendiri mensabotaj UMNO. Mereka yang tidak berpuas hati kerana tidak terpilih menjadi calon pilihanraya bertindak mensabotaj jentera pilihanraya sehingga lumpuh, malah ada yang mengundi calon pembangkang sebagai tanda protes. UMNO tewas bukan disebabkan kelemahannya tetapi tewas kerana mainan politik melampau di dalamnya. 



Dengan mainan politik yang melampau-lampau dan terlalu berpuak-puak, rakyat akan muak dan akhirnya akan mengundi pembangkang. Masalah di Perlis sudah terlalu kronik hingga menjadi bahan lawak jenaka dalam kempen–kempen pembangkang. Tidak dapat dinafikan, kesemua pemimpin UMNO Perlis sudah banyak berjasa kepada negara dan bangsa. UMNO menghargai segala sumbangan mereka sekian lama. Akan tetapi, sebagai pejuang dan panglima UMNO, mereka harus ingat bahawa kepentingan Parti mengatasi segalanya. Tidak ada gunanya jika mereka menang sorak namun kampung tergadai. 



Pembangkang sentiasa merangka strategi untuk menjatuhkan UMNO. Mereka meletakkan calon-calon yang berwibawa dan baru bagi menawan hati rakyat. Ada ura-ura yang mengatakan bahawa bekas mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin enggan menyertai pilihanraya kali ini akibat daripada permainan politik melampau ini. Malah Mufti  Perlis Dr Juanda Jaya secara terang-terangan kelihatan lebih berminat menyertai PKR berbanding UMNO! Malah Dr Juanda dikatakan akan diletakkan di kerusi Parlimen Kangar menentang calon UMNO.  Jika benar perkara tersebut, maka Perlis akan mencatatkan sejarah yang tersendiri bilamana akan berlaku pertandingan yang melibatkan calon-calon ulama yang popular! PAS telah menyatakan akan meletakkan Timbalan Mursyidul Amnya Dato’ Dr Haron Din sebagai calon di Arau dan  PKR mempertaruhkan Dr Juanda Jaya! Sebagai strategi balas, UMNO dikhabarkan akan meletakkan Pengerusi Ulama Muda UMNO, Dr Fathul Bari Mat Jahaya bertanding di Parlimen Kangar bagi mengimbangi calon ‘heavyweight’ ulama dari Pakatan Pembangkang. 



Rakyat Perlis dan di seluruh negara berasa amat teruja melihat perkembangan ini. Ayah Dr. Fathul Bari, Datuk Mat Jahaya Hussin  adalah merupakan bekas Mufti kerajaan negeri Perlis sebelum Dr MAZA. Malah beliau merupakan besan kepada Dato’ Seri Shahidan Kassim. Walaupun Dato’ Seri Shahidan Kassim dilihat lebih rapat dan menggemari Dr MAZA sebagai pelapisnya serta kerap menyokong Dr MAZA berbanding Fathul Bari, namun air yang dicincang mana mungkin putus? 



Begitu juga Datuk Radzi Sheikh Ahmad yang mana merupakan pemimpin berjiwa besar yang merupakan sahabat lama kepada ayahanda Fathul Bari serta kenalan keluarga yang amat rapat sejak kecil. Seharusnya pemilihan Fathul Bari sebagai calon adalah tepat, harmoni dan menepati citarasa semua. Adalah merupakan sesuatu yang amat merugikan seandainya Fathul Bari tidak dinaikkan sebagai calon kerana beliau telah menunjukkan bakat yang amat besar dalam membantu UMNO di peringkat nasional. 



Buat pertama kali, UMNO dilihat mendominasi isu-isu agama yang dimainkan sentimennya oleh PAS selama ini. Kehebatannya dalam berpidato secara berakhlak serta pengetahuan mendalamnya dalam ilmu agama kerap membuatkan PAS tertunduk. 



Malangnya, kini mula kedengaran bahawa pencalonan seorang calon neutral dan ‘winnable candidate’  seperti Fathul Bari pun  mendapat tentangan dari  pemimpin-pemimpin UMNO Perlis yang berseteru sesama sendiri! Fathul Bari bakal menjadi mangsa dan digugurkan.  



Rakyat Perlis sudah jemu dengan semua ini. Sepatutnya semua pemimpin UMNO Perlis sedar dan setia kepada Presiden UMNO Dato’ Sri Najib Tun Razak. Mereka sewajarnya berlapang dada dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Presiden untuk membuat keputusan akhir tentang siapakah calon-calon pilihanraya terbaik bagi negeri Perlis.


Janganlah ada perbuatan cah keting dalam UMNO sekali lagi seperti tahun 2008 yang natijahnya amat buruk untuk negara. Biarlah Presiden UMNO memilih winnable candidate yang difikirkannya sesuai. Siapapun yang beliau pilih, maka UMNO harus bersatu di belakang calon tersebut dan menggempur PRU kali ini dengan langkah pendekar! 


Dato’ Seri Shahidan, Dato’ Seri  Radzi Sheikh Ahmad, Dato’ Seri Azmi Khalid dan kem-kem UMNO Perlis mesti bersatu dibawah panji-panji UMNO yang dijulang oleh Presiden UMNO sekalipun mereka atau calon-calon pilihan mereka tidak terpilih. Sekalipun kita mati, biarlah kita mati berjuang. Bukan mati dengan tikaman harakiri yang cukup memalukan apatah lagi tikaman dari belakang. Janganlah pula berlaku tatkala negeri-negeri yang lain, UMNO cemerlang dan menang dalam keputusan pilihanraya, kita pula undur ke belakang, kalah menjadi pembangkang!

1 comment :

  1. Apasal boleh kalah PRU13 wahai ustaz Bari? Mungjkin anda terlalu excited/abses sesangat nak jadi ADUN...Ustaz jadi mangsa over-acted/over-estimated doing....

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...