Pages

Sunday, 21 April 2013

BREAKING NEWS! Pengganas Kiram Cuba Untuk Cerobohi Negara Lagi!


Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan cubaan Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) membantu kumpulan pengganas Kiram menyusup masuk ke perairan pantai timur Sabah untuk mengganggu kelancaran proses Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Menurut sumber, rancangan jahat tersebut bagaimanapun berjaya dihidu oleh pasukan keselamatan.

Beliau berkata, bagi menghalang insiden itu berlaku, PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah diarahkan untuk mengetatkan kawalan keselamatan di Sabah terutama menjelang hari penamaan calon dan pengundian.

“Kumpulan pengganas bersenjata itu dikatakan merancang masuk ke negara ini pada waktu malam dan akan bergerak dalam beberapa kumpulan kecil ke daerah Sandakan, Beluran dan Kinabatangan bagi mengelak dikesan.

“Bagaimanapun, usaha mereka sia-sia kerana pasukan keselamatan terlebih dahulu telah bersiap sedia mengetatkan kawalan keselamatan sebelum mereka melaksanakan perancangan jahat tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sumber itu bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar keseluruhan anggota kumpulan pengganas yang dikesan akan memasuki perairan Sabah.

Beliau memberitahu, rancangan pencerobohan terbaharu itu dirancang oleh Esmail Kiram iaitu adik kepada ketua pengganas, Jamalul Kiram.

Sehubungan itu, katanya, polis kini giat memburu beberapa individu lain yang berkait rapat dengan Esmail Kiram yang membantu merancang pencerobohan tersebut.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan wujudnya perancangan tersebut kerana mahu membalas dendam di atas kematian ramai pengikutnya di Lahad Datu, Sabah.

“Perancangan itu dipercayai rentetan daripada rasa tidak puas hati ketua pengganas yang mahu membalas dendam di atas kematian pengikutnya.

“Pihak keselamatan yakin pencerobohan terbaharu yang dirancang musuh akan gagal dan tidak sedikit pun mengganggu keselamatan terutama ketika pilihan raya nanti,” katanya.

No comments :

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...